- Iklan -
Berita

Nelayan akan serah memorandum bantah projek tambak laut kepada Agong

Ia bagi memohon agar baginda dapat melihat nasib nelayan di Pulau Pinang.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan dari udara projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang berhampiran Gurney Drive.
Pemandangan dari udara projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang berhampiran Gurney Drive.

Lebih 4,000 orang terutama nelayan mengadakan perhimpunan aman membantah projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) yang dijalankan Pantai Sungai Batu, di Teluk Kumbar di Balik Pulau.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (PenMutiara) Ibrahim Che Ros berkata pihaknya akan menyerahkan memorandum bantahan projek tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk memohon agar baginda dapat melihat nasib nelayan di Pulau Pinang.

“Pihak kami sedang menyiapkan memorandum itu dan akan menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat supaya baginda dapat melihat nasib kami nelayan di sini jika projek PSI tersebut diteruskan dan seterusnya membantu kami.

“Kami juga merancang untuk mengadakan perhimpunan membantah projek PSI di Parlimen dalam masa terdekat dan menyerahkan memorandum kedua bantahan projek ini kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kami sangat berharap beliau dapat mendengar suara nelayan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perhimpunan aman itu hari ini.

Perhimpunan aman itu bermula pada 10.30 pagi dan berakhir kira-kira sejam kemudian tanpa sebarang insiden yang tidak diingini dihadiri penduduk setempat serta ahli pertubuhan bukan kerajaan antaranya Penang Forum, Sahabat Alam Malaysia (SAM), Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (LEKAS) serta Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).