- Iklan -
Berita

Bagaimana pembalakan menyukarkan nelayan ikan renik di Gerik

Mereka pernah meraih ratusan kilo ikan setiap minggu tetapi kini bergelut untuk mendaratkan 20kg.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Nelayan darat, Wan Ikmal Izham Wan Yusof, 26, memasang wayar-wayar lampu bot untuk di suluh ke permukaan air bagi menarik perhatian ikan renik di Sungai Bersia, Hulu Perak, 11 Mei.
Nelayan darat, Wan Ikmal Izham Wan Yusof, 26, memasang wayar-wayar lampu bot untuk di suluh ke permukaan air bagi menarik perhatian ikan renik di Sungai Bersia, Hulu Perak, 11 Mei.

Di satu sudut kecil di pedalaman Gerik, jalan kecil bertar yang bersimpang-siur tamat di sebuah loji rawatan air.

Pada sebelah kanan jalan, cenuram konkrit bertemu gigi air, tempat sekumpulan nelayan darat melabuhkan bot mereka.

Tasik Empangan Bersia menjadi lubuk rezeki untuk kira-kira 30 nelayan itu yang mencari ikan renik bagi menampung kehidupan.

Rutin kerja mereka berbeza dengan nelayan lain yang keluar pada waktu pagi.

Nelayan darat tasik itu kebiasaannya akan mula menghidupkan enjin apabila matahari mula terbenam.

Salah seorangnya ialah Wan Ikmal Izhar, 26 yang melakukan tugas itu sepenuh masa.

Beberapa nelayan darat melakukan persiapan memunggah peralatan ke dalam bot sebelum memulakan tugas untuk menangkap ikan di Tasik Bersia, Hulu Perak, 10 Mei 2023.
Beberapa nelayan darat melakukan persiapan memunggah peralatan ke dalam bot sebelum memulakan tugas untuk menangkap ikan di Tasik Bersia, Hulu Perak, 10 Mei 2023.

Perjalanan ke tengah-tengah tasik itu boleh memakan masa antara 40 hingga 50 minit.

Ada kalanya mereka hanya mencari di sekitar jeti atau empangan, bergantung kepada musim.

Lampu di tepi bot akan dibuka bagi menarik perhatian ikan.

Ia sama seperti mencandat sotong yang popular di negeri Terengganu.

"Tangkapan ikan akan banyak jika tiada bulan mengambang.

“Setelah ikan berkumpul, kami akan menyauk dari bawah," katanya.

Kebiasaannya, mereka akan bermalam di tasik sementara menunggu hasil tangkapan dan akan mula pulang pada subuh hari.

Cerita lelaki itu, tangkapan pada zaman dahulu mampu mencapai sehingga 600 kilogram seminggu. 

Namun kini, dengan keadaan air yang semakin kotor akibat pembalakan, mereka sukar untuk meraih 20 kilogram seminggu.

"Tangkapan juga akan berkurangan jika suhu air menjadi sejuk, atau air empangan dicuci."

Nelayan darat, Wan Ikmal Izham Wan Yusof, 26, menunjukkan jumlah ikan renik yang ditangkap di Sungai Bersia, di Hulu Perak, 11 Mei 2023.
Nelayan darat, Wan Ikmal Izham Wan Yusof, 26, menunjukkan jumlah ikan renik yang ditangkap di Sungai Bersia, di Hulu Perak, 11 Mei 2023.

Tambahnya, jika ikan renik berkurangan, nelayan akan mencari hasil tangkapan lain sebagai alternatif. 

Ikmal mewarisi aktiviti itu daripada bapanya, Wan Mohd Yusof Wan Nik yang juga nelayan ikan renik. 

Yusof bagaimanapun sudah tidak meneruskan aktiviti itu lantaran masalah kesihatan.

Dia itu kini menjadi peraih dengan membeli ikan-ikan yang ditangkap daripada rakan-rakan lain. 

Di rumahnya, ikan itu dijadikan produk sejuk beku sebelum dibeli oleh peraih yang membawanya ke destinasi lain.

"Ikan ini mendapat permintaan tinggi daripada warga Bangladesh. Mereka akan membuat lauk kari dengan ikan ini," katanya.

Nelayan darat, Wan Ikmal Izham Wan Yusof, 26, memantau kelibat ikan di bahagian lampu bot yang disuluh ke permukaan air bagi menarik perhatian ikan renik sebelum menyauk menggunakan jaring buatan di Sungai Bersia, Hulu Perak, 11 Mei.

Katanya, dahulu harga ikan itu dijual pada RM4 ke RM5 sekilo. Kini ia dijual pada harga RM13 sekilo.

"Ada orang Bangladesh yang datang ke sini terkejut kerana ia dijual murah. Rupanya di Kuala Lumpur, ia dijual pada harga RM30 sekilo," katanya.

Meskipun tidak lagi menjadi nelayan, Yusof masih aktif memperjuangkan nasib komuniti setempat.

"Kami memerlukan jeti yang baik untuk mendaratkan hasil tangkapan. Buat masa sekarang, kami tiada jeti dan ini menyukarkan proses menaikkan ikan.

"Selain itu, kami juga berharap lesen nelayan dapat diberikan oleh pihak yang bertanggungjawab," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.