- Iklan -
Berita

Blogger direman bagi bantu siasatan kes rasuah lebih RM1.3 juta babit sebuah kementerian

Projek berkenaan bernilai kira-kira RM41 juta.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang blogger tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya, 12 Mei.
Seorang blogger tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya, 12 Mei.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mereman seorang blogger bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan rasuah dalam satu projek membabitkan sebuah kementerian bernilai lebih RM41 juta.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin telah mengeluarkan perintah reman selama dua hari sehingga 13 Mei terhadap suspek setelah SPRM membuat permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini.

Menurut sumber, suspek dipercayai telah menerima rasuah berjumlah lebih RM1.3 juta daripada sebuah syarikat teknologi maklumat sekitar tahun 2020.

Tambah sumber, permintaan dan pembayaran rasuah ini dipercayai dilakukan sebagai dorongan kepada suspek melobi supaya syarikat berkenaan berjaya dalam perolehan kontrak berkaitan.

Difahamkan, SPRM juga akan melihat bagaimana tatacara perolehan projek ini dilaksanakan.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan kes disiasat di bawah seksyen 16 Akta SPRM 2009.