- Iklan -
Berita

Pemimpin Bersatu bidas inisiatif KWSP ‘cacamarba’ Anwar

Wan Saiful Wan Jan berkata individu bankrap dibenarkan membuat pinjaman yang menyebabkan mereka menghimpunkan lebih banyak hutang.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Kerajaan dipersoal berhubung Fasiliti Sokongan Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau FSA2.
Kerajaan dipersoal berhubung Fasiliti Sokongan Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau FSA2.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan membidas dasar terbaru diperkenalkan kerajaan berhubung inisiatif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menggunakan baki simpanan ahli sebagai cagaran pembiayaan bank, memetik perbualan dengan seorang pencarum yang kini berhutang RM35,000 dengan dana persaraannya tercagar.

Pemimpin Bersatu itu dalam catatan di Facebook berkata, pencarum berkenaan adalah salah seorang daripada yang ditemuinya, yang menerima kelulusan untuk Fasiliti Sokongan Akaun 2 atau FSA2 KWSP.

“Yang menariknya, semua mereka menerima kelulusan walaupun mereka sebenarnya mempunyai status bankrap,” katanya, sambil menambah ada yang masih tidak dapat mengeluarkan jumlah yang diluluskan manakala yang lain menerima mesej daripada MBSB Bank mengarahkan mereka mendapatkan surat pelepasan daripada Jabatan Insolvensi.

“Jika tidak, pinjaman mereka akan dibatalkan walaupun dana telah dimasukkan ke akaun bank mereka.

“Bagaimana boleh wujud satu keadaan yang mana pinjaman telah diluluskan, dana telah dimasukkan dalam akaun peribadi, tapi peminjam tidak dibenarkan membelanjakan wang itu? 

“Kalau mereka ini tidak layak sebab bankrap, kenapa permohonan diluluskan? Bukan saja lulus, malahan duit pun dah masuk ke akaun peribadi!”

Wan Saiful berkata pencarum terbabit berkongsi tangkap layar akaunnya yang menunjukkan pinjaman RM18,000 daripada MBSB Bank dengan dana KWSP sedia ada dijadikan sebagai cagaran.

“MBSB mengenakan caj pada kadar 4.5% dan tempoh pinjaman ialah 9 tahun. Jumlah penuh yang dia perlu bayar ialah RM35,601.12 – dua kali ganda dari jumlah RM18,000 yang dia pinjam!!,” tambahnya.

“Saya gesa Anwar Ibrahim selaku menteri kewangan dan perdana menteri beri penjelasan kenapa pentadbiran beliau amat cacamarba dan huru-hara sehingga rakyat yang susah dianiaya sebegini. 

“Tidak pernah ada perdana menteri di muka bumi ini yang mencadangkan bahawa penyelesaian bagi mereka yang bankrap sebab berhutang ialah dengan menambah lagi hutang. 

“Ini pemikiran songsang perdana menteri yang tidak kompeten.”

Beliau juga meminta Anwar menjelaskan bagaimana individu yang bankrap boleh menerima kelulusan permohonan pinjaman, dan memberi jaminan bahawa jika pinjaman dibatalkan, mereka tidak akan dikenakan sebarang caj atau faedah meskipun wang itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi peminjam.

“Beliau perlu memastikan peminjam yang telah mengeluarkan wang pinjaman tidak dipaksa memulangkan wang dengan zalim kepada mereka, dan menjelaskan apa rasional kerajaan memaksa pencarum menambah hutang sehingga jumlah bayaran balik jadi berganda dan membebankan.

“Jika Anwar tidak dapat terima hakikat bahawa dasar songsang yang beliau bawa ini menyusahkan rakyat, lebih baik Anwar letak sahaja jawatan menteri kewangan dan berikan kepada orang yang lebih kompeten,” katanya.