- Iklan -
Berita

KPM terus nasihat sekolah tidak jalankan aktiviti luar bilik darjah

Fadhlina Sidek berkata KPM telah mengadakan sesi libat urus bersama seluruh Jabatan Pendidikan negeri.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ditemu bual pemberita ketika melakukan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Pulau Rusa, 10 Januari. Gambar: Bernama
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ditemu bual pemberita ketika melakukan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Pulau Rusa, 10 Januari. Gambar: Bernama

Kementerian Pelajaran (KPM) sekali lagi menasihatkan semua sekolah agar tidak menganjurkan sebarang aktiviti luar bilik darjah antaranya merentas desa dan sukan  memandangkan keadaan cuaca masih panas ketika ini, demi keselamatan dan kesihatan para pelajar.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM telah mengadakan sesi libat urus bersama seluruh Jabatan Pendidikan negeri bagi memberikan panduan untuk memastikan sekolah tidak menjalankan aktiviti luar ketika ini.

Beliau berkata KPM menasihatkan pihak sekolah agar tidak menganjurkan aktiviti luar bilik darjah ketika ini memandangkan keadaan cuaca panas, namun penangguhan itu bersifat sementara dan berdasarkan keadaan cuaca semasa.

Beliau berkata setakat ini tiada sekolah yang ditutup susulan cuaca panas, namun pihaknya mengambil pelbagai pendekatan dan terus dalam keadaan berjaga-jaga serta bersiap siaga terhadap sebarang kemungkinan.

"Cuma untuk sementara ini, saya minta semua sekolah tangguh sebentar (aktiviti luar bilik darjah) sehingga cuaca benar-benar kembali seperti sediakala dan membolehkan pelajar kita melakukan aktiviti di luar kelas dengan lebih selamat kerana kita perlu ambil langkah berjaga-jaga," katanya Ahli Parlimen Nibong Tebal itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Nibong Tebal di Dewan Dato’ Haji Ahmad Salleh, Kampung Permatang Keling di sini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Pkharuddin Ghazali dan Pengarah Pendidikan Pulau Pinang Abdul Rashid Abdul Samad.