- Iklan -
Berita

Keputusan pengeluaran khas KWSP tidak popular tapi demi masa depan pencarum, kata PM

Perdana menteri berkata beliau tidak mahu KWSP menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya untuk melindungi simpanan persaraan pencarum.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Anwar berkata KWSP sebagai badan berkanun yang telah diamanahkan dengan tugas besar untuk memastikan kelestarian pencarum tidak keluar daripada matlamatnya.
Anwar berkata KWSP sebagai badan berkanun yang telah diamanahkan dengan tugas besar untuk memastikan kelestarian pencarum tidak keluar daripada matlamatnya.

Kerajaan mengambil keputusan tidak popular untuk tidak lagi membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) demi masa depan pencarum, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata KWSP sebagai badan berkanun yang telah diamanahkan dengan tugas besar untuk memastikan kelestarian pencarum tidak keluar daripada matlamatnya. 

“Sebab itu saya setuju dengan usul pengurusan apabila ada desakan politik yang begitu kuat untuk teruskan pengeluaran (khas) dan saya ambil keputusan tidak semestinya terlalu popular untuk tidak membenarkan lagi pengeluaran kerana tugas, janji, ikrar, akad orang yang mencarum itu sesuai dengan janji yang dimeterai itu untuk masa depan mereka. 

“Tetapi ada keadaan darurat, masa pandemik (Covid-19), dibolehkan kerana masa itu dibolehkan dan saya antara yang keras menuntut dibolehkan (pengeluaran) kerana keadaan mendesak ketika itu dan angkanya mencecah RM145 bilion dikeluarkan dalam kapasiti desakan yang berlaku kerana darurat,” kata beliau. 

Perdana Menteri berkata demikian pada majlis pelancaran Menara KWSP Kwasa Damansara di Shah Alam hari ini.  

Bagaimanapun Anwar berkata keadaan ketika ini telah berubah dan lebih bebas untuk melakukan pergerakan termasuk bekerja, justeru beliau tidak mahu KWSP keluar daripada landasan dan matlamat untuk memenuhi kehendak beberapa pihak.

Beliau percaya isu pengeluaran khas KWSP juga akan dimainkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri terlibat akan datang namun ia tidak menghalang kerajaan tegas dalam keputusannya.

“Dalam keputusan dan kebijaksanaan kita ambil yang benar dan tidak harus diheret untuk ambil keputusan yang terpaksa rela hanya untuk memenuhi selera beberapa kerat manusia. 

“Untuk pertimbangan bagi yang benar-benar menghadapi kesusahan, soal membasmi kemiskinan, soal menokhtahkan kemiskinan tegar itu saya tak menolak.

“Sebab itu saya katakan kalau GLC (syarikat berkaitan kerajaan), GLIC  (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan), KWSP dan lain termasuk Khazanah, kementerian dan jabatan dapat elak ketirisan, kita mampu membantu rakyat mendapat pembelaan,” kata beliau.

Sementara itu Anwar menyifatkan Menara KWSP Kwasa Damansara sebagai mercu tanda khidmat berintegriti dan bertanggungjawab. 

“Kalau kita saksikan kawasan pembangunan baharu ini dengan kehijauan dan ada pembangunan mampan sekali gus beri gambaran kesedaran kemampanan tidak hanya kemajuan pertumbuhan pantas sebaliknya ambil kira kelestarian dan kehijauan yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Ini juga termasuk penyelesaian masalah negara, pengurusan dan tata kelola yang baik boleh membuat kemajuan lebih pesat tetapi mesti diurus dengan pengurusan berintegriti dan hapuskan segala bentuk ketirisan dan rasuah,” katanya.