- Iklan -
Berita

Perlembagaan tak halang penukaran kerajaan, kata Azmin

Beliau berkata kerajaan pada hari ini gagal untuk memenuhi aspirasi rakyat.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Mohamed Azmin Ali.
Mohamed Azmin Ali.

Menukar kerajaan bukanlah sesuatu yang luar biasa atau dilarang selain ianya dibenarkan oleh Perlembagaan, kata  Mohamed Azmin Ali, ketika spekulasi bertiup kencang kerajaan Anwar Ibrahim hilang sokongan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu berkata, peruntukan Perlembagaan membolehkan sesebuah kerajaan itu dirombak apabila gagal untuk memenuhi aspirasi rakyat.

"Mereka (kerajaan) lebih banyak bercakap daripada bertindak, seolah-olah terputus daripada realiti, situasi, keluhan dan masalah rakyat di bawah," kata pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu kepada pemberita di Gombak, Selangor hari ini.

Awal minggu ini heboh desas-desus terdapat gerakan untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Anwar, menimbulkan pelbagai spekulasi di media sosial.

Ia selepas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na'aman yang memuat naik catatan: "126 dah.. jika benar Alhamdulillah" di laman sosial Facebook.

Catatan itu mencetuskan persoalan yang mana ia dianggap sebagai bayangan bahawa gerakan itu bukan sekadar spekulasi.

Azmin yang mengulas mengenai perkara itu, menyifatkan ia sebagai keluhan daripada rakyat disebabkan kerajaan gagal untuk menyelesaikan pelbagai isu sedang dihadapi termasuk kos sara hidup dan ekonomi.

"Maka keluhan ini akan diterjemahkan dalam bentuk tindakan dalam kalangan pemimpin, ahli Parlimen mewakili rakyat di kawasan masing-masing.

"Selagi ianya terikat dengan peruntukan perlembagaan undang-undang, ianya boleh dilakukan,” katanya.

Azmin bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya, bilakah kerajaan pimpinan Anwar akan tumbang.

Sementara itu, Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, menafikan PN sedang menggerakan usaha mengumpul Akuan Bersumpah (SD) untuk membentuk kerajaan Persekutuan atau memilih Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin sebagai perdana menteri.

Katanya, fokus pada masa ini tertumpu kepada usaha mempertahankan kerajaan di Kelantan, Terengganu dan Kedah serta mencari strategi untuk menawan negeri dikuasai Pakatan Harapan (PH) seperti Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

"PN tidak ada buat SD atau apa-apa. Kita cuma ada 74 kerusi (Parlimen). 

“Kita sedar kita perlu jalankan tanggungjawab sebagai pembangkang, maka itu kita akan teruskan," katanya kepada pemberita pada majlis sama.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.