- Iklan -
Berita

Bersatu fail tindakan undang-undang mohon 4 kerusi Parlimen Sabah dikosongkan

Parti itu memohon perintah untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pejabat parti Bersatu di Selangor.
Pejabat parti Bersatu di Selangor.

Parti Bersatu memfailkan tindakan undang-undang untuk memohon supaya Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul mengosongkan empat kerusi Parlimen di Sabah.

Permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee dan Muhammad Suhaimi Yahya selaku pegawai awam pertubuhan parti itu menerusi Tetuan Chetan Jethwani & Company di Mahkamah Tinggi di sini pada 17 April lepas.

Parti itu yang bertindak sebagai pemohon menamakan Johari serta empat Ahli Parlimen terlibat iaitu Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang) sebagai responden pertama hingga kelima.

Dalam permohonan itu, parti berkenaan memohon suatu perintah untuk membatalkan keputusan Johari melalui surat bertarikh 16 Januari lepas yang menyatakan responden kedua hingga kelima memberi penjelasan dan mengesahkan bahawa tiada berlakunya kekosongan kerusi parlimen berkenaan berdasarkan tafsiran Perlembagaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Perlembagaan Bersatu.

Bersatu juga memohon satu deklarasi bahawa empat ahli parlimen itu telah berhenti menjadi ahli Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, selain perintah supaya Johari mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi semua kerusi parlimen berkenaan. 

Selain itu, parti berkenaan turut memohon perintah supaya Johari memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai kekosongan itu dalam tempoh 21 hari dari perintah terbabit.

Sekiranya kebenaran diberikan dan sementara menunggu pendengaran semakan kehakiman, Bersatu memohon perintah penzahiran supaya responden-responden mengemukakan semua surat-menyurat dan rekod kepada dan daripada Johari berhubung maklumat serta penjelasan mengenai pemberhentian semua ahli parlimen terbabit, dan pengesahan bahawa tiada berlakunya kekosongan luar jangka.

Berdasarkan alasan dalam permohonan itu, Bersatu menyatakan responden kedua hingga kelima yang merupakan calon parti itu telah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di bawah logo GRS.

Bersatu menyatakan bahawa pada 10 Disember lepas, Pengerusi GRS Hajiji Noor telah membuat satu kenyataan media memaklumkan pemimpin-pemimpin Bersatu termasuk responden kedua hingga kelima telah membuat keputusan untuk meninggalkan parti berkenaan.

Pemohon mendakwa pada 19 Disember 2022, dalam persidangan Parlimen pertama selepas PRU15, responden kedua hingga kelima telah duduk di bahagian kerajaan, yang jelas menunjukkan niat mereka untuk meninggalkan parti Bersatu. 

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Bersatu mengeluarkan Notis Pemberhentian kepada responden kedua hingga kelima pada 21 Disember 2022, yang memaklumkan mereka telah berhenti menjadi ahli parti berkenaan selepas dipilih sebagai Ahli Parlimen.

Menurut parti itu, disebabkan pemberhentian berlaku selepas PRU15, berlaku kekosongan kerusi parlimen berkenaan berdasarkan Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan mana-mana ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan kerusi mereka hendaklah dikosongkan.

Bersatu mendakwa Johari melalui surat bertarikh 16 Januari lepas menyatakan bahawa responden kedua hingga kelima sudah memberi penjelasan dan mengesahkan bahawa tiada berlakunya kekosongan berdasarkan tafsiran Perlembagaan GRS dan Perlembagaan Bersatu.

Menerusi semakan sistem mahkamah, permohonan kebenaran semakan kehakiman akan didengar di hadapan Hakim Amarjeet Singh pada 30 Mei ini.