- Iklan -
Berita

Projek tambak laut Selatan Pulau Pinang terima kelulusan Jabatan Alam Sekitar

Kelulusan itu dimaklumkan menerusi surat daripada JAS Putrajaya bertarikh 11 April kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. Gambar: Bernama
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. Gambar: Bernama

Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kelulusan itu dimaklumkan menerusi surat daripada JAS Putrajaya, bertarikh 11 April kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Kelulusan EIA itu merupakan kelulusan berasaskan 71 syarat ditetapkan termasuk keperluan meneruskan pelaksanaan Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) projek berkenaan,” katanya kepada pemberita di Georgetown hari ini.

Chow berkata lanjutan daripada kelulusan EIA yang diperoleh itu, kerajaan negeri menerusi rakan pelaksana projek PSI kini dalam proses memohon kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) daripada JAS Pulau Pinang.

“Kerja-kerja penambakan hanya akan bermula pada suku ketiga tahun ini,” katanya. 

Chow berkata kerja-kerja penambakan akan bermula di Pulau A yang bakal dijadikan sebagai Taman Teknologi Hijau.

Kelulusan diberikan untuk pembinaan tiga pulau, yang ketika ini dinamakan sebagai A, B dan C, katanya.

Beliau berkata pembinaan akan dimulakan di pulau A, berkeluasan 283 hektar, yang dijangka mengambil masa selama sembilan tahun untuk disiapkan.

Menurut Chow, laporan EIA yang diluluskan itu akan dimuat naik dalam laman sesawang Penang Infrastructure Corporation untuk bacaan umum.

PSI merupakan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan kira-kira 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas, namun projek itu mendapat bantahan komuniti nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar kerana didakwa akan merosakkan ekosistem laut.