- Iklan -
Berita

45 individu dipindahkan akibat tanah runtuh di Akademi SPRM

Tiada kecederaan dilaporkan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota bomba dan pejabat Air Selangor berada di lokasi kejadian tanah runtuh di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di Kuala Lumpur, 25 April. Gambar: Bernama
Anggota bomba dan pejabat Air Selangor berada di lokasi kejadian tanah runtuh di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di Kuala Lumpur, 25 April. Gambar: Bernama

Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) mengosongkan seluruh kawasan akademi itu dengan memindahkan seramai 45 individu susulan kejadian tanah runtuh di pintu masuk utamanya pada kira-kira 1.30 tengah hari tadi.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan malam ini memaklumkan individu terbabit yang terdiri daripada 22 pegawai, 16 pekerja pembersihan dan tujuh penghuni kuarters termasuk keluarga pegawai telah selamat dipindahkan dari bangunan MACA ke kawasan selamat.

“Pengosongan tersebut adalah atas nasihat pihak bomba dan akan berlarutan sehingga kawasan terlibat diisytiharkan selamat dan ketika ini, pihak MACA turut bersedia dengan arahan lanjut pihak berkuasa serta akan membuat pemakluman dari semasa ke semasa.

“Sehubungan itu, pihak MACA memohon orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian tanah runtuh tersebut,” menurut kenyataan itu.

Ketika kejadian, seramai 76 orang terdiri daripada 36 lelaki dan 40 wanita yang merupakan petugas pentadbiran MACA dan Institut Integriti Malaysia, yang terletak bersebelahan akademi itu berdepan detik cemas selepas berlaku runtuhan tanah di kawasan tersebut namun mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kejadian itu melibatkan kawasan di depan pintu akademi milik SPRM dan meruntuhkan sebuah pondok kawalan dengan keluasan tanah runtuh dianggarkan 30.48 x 36.57 meter persegi.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.