- Iklan -
Berita

Radzi ganti Noor Hisham sebagai KP Kesihatan baharu

Ia selepas persaraan wajib Noor Hisham selepas berkhidmat di bawah lima pentadbiran perdana menteri.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Dr Muhammad Radzi Abu Hassan. Gambar: Bernama
Dr Muhammad Radzi Abu Hassan. Gambar: Bernama

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dilantik sebagai ketua pengarah kesihatan bagi menggantikan Dr Noor Hisham Abdullah yang bersara wajib pada Jumaat lalu.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Radzi berkuat kuasa pada 21 April lalu.

Katanya, pelantikan Radzi berdasarkan kelayakan dan pengalaman luasnya dalam bidang perkhidmatan kesihatan negara sebagai timbalan ketua pengarah kesihatan (penyelidikan dan sokongan teknikal) di Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan baharu.

“Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah, Ketua Penyelaras Perubatan Negeri Kedah dan Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Kedah. 

“Radzi pernah dilantik sebagai Ketua Perkhidmatan Gastroenterologi dan Hepatologi serta menjadi pengerusi pentauliahan bidang kepakaran ini dari 2013 sehingga 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaliha berkata, beliau yakin dengan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran serta kredibiliti Radzi mampu memberi khidmat yang terbaik dan menjadi rakan pasukan bersamanya dalam memastikan matlamat serta agenda reformasi kesihatan negara dilaksanakan secara menyeluruh.

“Selaras dengan Kertas Putih Kesihatan yang sedang dibangunkan agar masyarakat Malaysia dapat terus menikmati perkhidmatan kesihatan yang komprehensif, berkualiti serta mapan,” katanya.

Noor Hisham yang telah berkhidmat selama 10 tahun sebagai ketua pengarah kesihatan di bawah pentadbiran lima perdana menteri sejak Najib Razak hingga Anwar Ibrahim terkenal dengan jolokan ‘jeneral perang’ negara kerana mengetuai jentera kesihatan dalam membendung wabak Covid-19.