- Iklan -
Berita

Kertas putih kesihatan dibawa ke Kabinet minggu depan, kata menteri

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata Kertas Putih Kesihatan itu akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa. Gambar: Bernama
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa. Gambar: Bernama

Kertas Putih Kesihatan akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu depan, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata selepas mendapat persetujuan Kabinet, Kertas Putih Kesihatan itu akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

“(Kertas Putih Kesihatan) kena dibentangkan di Kabinet, baru boleh bawa ke Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) di Kuala Lumpur hari ini.

Kertas Putih Kesihatan merupakan permulaan perjalanan reformasi sistem kesihatan di Malaysia dan antara teras strategik kertas putih itu ialah memastikan kemampanan pembiayaan penjagaan kesihatan dengan mempelbagaikan sumber pembiayaan untuk kesihatan iaitu tumpuan khusus kepada pembangunan skim insurans kesihatan nasional.

Ditanya sama ada Malaysia akan mengikuti jejak Singapura dan Thailand yang mengharamkan vape, Zaliha berkata langkah pengharaman sedemikian perlu dilihat dari pelbagai sudut termasuk kesihatan  awam dan ekonomi. 

Mengulas mengenai isu kekurangan jururawat dalam institusi kesihatan swasta, Zaliha berkata keadaan itu berkemungkinan disebabkan permasalahan pengagihan dan memerlukan langkah peruntukkan semula.

“Perkara ini dalam makluman MOH (Kementerian Kesihatan), kita tengah perhalusi dan APHM sudah buat sesi keterlibatan dengan MOH,” katanya.

Menurut Zaliha antara beberapa perkara yang akan diperhalusi ialah keperluan pengambilan jururawat dari  luar negara untuk bantu sektor swasta mengatasi masalah berkenaan. 

Terdahulu, Presiden APHM Dr Kuljit Singh dalam ucapan alu-aluannya berkata dalam kajian yang dilakukan APHM pada November 2022 yang menerima maklum balas daripada 103 hospital mendapati bahawa sebanyak 9,224  jururawat tambahan diperlukan dari 2023 hingga 2025.