- Iklan -
Berita

Belum ada permohonan rasmi Ahli Parlimen pembangkang bincang peruntukan, kata Fadillah

Beliau bagaimanapun mengakui telah mengadakan perjumpaan bersama Takiyuddin Hassan baru-baru ini, namun ia adalah pertemuan tidak rasmi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof. Gambar: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof. Gambar: Bernama

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata sehingga kini beliau masih belum menerima sebarang permohonan rasmi bagi membincangkan peruntukan kewangan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Mengakui bahawa baru-baru ini beliau dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan telah mengadakan perjumpaan, namun ia adalah pertemuan tidak rasmi.

“Saya dah bagi tahu kepada mereka (PN) untuk buat tawaran (permohonan) secara hitam putih, selagi kita (kerajaan) belum terima surat rasmi bermakna tidak akan berlaku sebarang rundingan.

“Kalau kita ingat, sewaktu kerajaan Keluarga Malaysia ada Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani dan ada rundingan. Jadi yang ini belum berlaku… macam orang meminang, macam mana nak bincang kalau orang tak menawarkan,” katanya dengan nada berseloroh.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau yang turut dihadiri Premier Sarawak Abang Johari Openg di Kuching hari ini. 

Fadillah sebelum ini dilaporkan telah meminta Takiyuddin mengemukakan perincian cadangan secara bertulis, sebelum rundingan mengenainya dimulakan. 

Selain itu, beliau juga tidak menetapkan had masa khusus untuk Ketua Whip Pembangkang dan juga Ahli Parlimen Kota Bharu itu mengemukakan cadangan berhubung perkara berkenaan.

PN telah melantik tiga wakil yang terdiri daripada Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin, Naib Presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin dan Takiyuddin untuk menyertai rundingan itu.