- Iklan -
Berita

Nazir Razak tamatkan khidmat sebagai pengerusi Bank Pembangunan

Tempoh perkhidmatannya tamat pada April ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Nazir Razak, di Forum Ekonomi Dunia mengenai Asean di Pusat Konvensyen Nasional di Hanoi pada 13 September 2018. Gambar: AFP
Nazir Razak, di Forum Ekonomi Dunia mengenai Asean di Pusat Konvensyen Nasional di Hanoi pada 13 September 2018. Gambar: AFP

Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) mengumumkan Nazir Razak akan bersara daripada jawatannya sebagai Pengerusi Bukan Bksekutif BPMB pada 22 April selepas berkhidmat selama dua tahun.

Menurut kenyataan BPMB pada Khamis, Nazir mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas peluang berkhidmat dengan bank ini selama dua tahun.

“Dalam tempoh itu, kami berjaya menyelesaikan penggabungan dengan Danajamin, memperkukuh barisan pengurusan kami, operasi bertambah baik dan tadbir urus keseluruhan, menjadikan BPMB Group lebih kukuh dan bersepadu seperti hari ini,” katanya.

Beliau juga berkata BPMB juga melancarkan Agenda 2025 (pelan transformasi tiga tahun) dan menerapkan kaedah objektif untuk menilai pinjaman dan pelaburan berdasarkan rangka kerja Pengukuran Kesan terhadap Pembangunan Negara (MIND) BPMB, menurut kenyataan itu.

Nazir menyertai BPMB pada 2021 dengan tujuan menyelia penyatuan institusi kewangan pembangunan (DFI) yang telah dirancang dan dalam fasa satu, penggabungan di antara Danajamin Bhd dan BPMB telah selesai tahun ini.

Bagi fasa dua, penggabungan dengan Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) dan Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) kekal sebagai sebahagian daripada pelan hala tuju penyatuan DFI, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2020.

“Saya kini akan boleh mengkhususkan lebih banyak masa saya untuk pelaburan ekuiti persendirian Asean dan peranan baharu sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan Asean Malaysia,” katanya.

Menerusi kenyataan itu, BPMB mengucapkan penghargaan kepada Nazir atas sumbangan tidak ternilainya kepada bank.