- Iklan -
Berita

PKPD 2 minggu di 28 mukim Kota Setar bermula Rabu

KKM mengesahkan penularan jangkitan Covid-19 tersebar meluas ke seluruh daerah Kota Setar dalam tempoh lapan hari.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di 28 mukim di Kota Setar, Kedah bermula Rabu ini.
Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di 28 mukim di Kota Setar, Kedah bermula Rabu ini.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan selama dua minggu di 28 mukim di daerah Kota Setar, Kedah bermula Rabu ini susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan tersebut.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata kementerian kesihatan (KKM) mengesahkan penularan jangkitan Covid-19 tersebar meluas ke seluruh daerah Kota Setar dalam tempoh lapan hari sahaja iaitu bermula 8 Mei hingga semalam, melibatkan 799 kes positif dikesan.

Katanya, sehingga semalam secara keseluruhan sebanyak 975 kes aktif Covid-19 di seluruh daerah Kota Setar dengan enam mukim direkodkan sebagai zon merah iaitu Mukim Kota Setar dengan 78 kes; Mukim Mergong (223 kes); Mukim Pengkalan Kundor (143 kes); Mukim Derga (138 kes); Mukim Kangkong (55 kes) dan Mukim Anak Bukit (61 kes).

“Ini menjadikan hampir 100 kes sehari di Kota Setar direkodkan secara purata, yang melibatkan beberapa kluster sedia ada termasuk kluster terbaru iaitu Kluster Dah Putih di daerah itu.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk mengawal pergerakan penduduk di daerah ini serta menyekat penularan jangkitan kes Covid-19 dari kawasan berisiko ke kawasan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata PKPD turut dilaksanakan di dua lokaliti di Kelantan iaitu Kampung Pauh Lima, Mukim Gunong dekat Bachok dan Kampung Pauh Lima, Mukim Banggu di Kota Bharu, mulai Rabu ini.

Dalam pada itu, PKPD di Taman Tanah Putih Baru, Kuantan, Pahang pula dilanjutkan selama tujuh hari bermula Rabu ini berikutan masih terdapat penularan kes dalam kalangan penduduk di lokaliti tersebut serta terdapat kes baharu dan sampel sedang menunggu keputusan.

Beliau turut memaklumkan PKPD di Rumah Panjang Dinggai, Sungai Amut Atas dekat Pakan, Sarikei di Sarawak juga dilanjutkan bermula 20 Mei sehingga 26 Mei susulan masih terdapat penularan kes dalam kalangan penduduk di lokaliti tersebut selain ada lagi sampel ujian sedang menunggu keputusan.

Sementara itu, PKPD di Kampung Meripoh dan Kota Bahagia di Muadzam Shah dekat Rompin, Pahang ditamatkan hari ini iaitu lebih awal daripada yang dijadualkan.

Mengenai operasi pasukan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP), seramai 569 individu ditahan kerana ingkar SOP PKP semalam, dengan 466 daripadanya dikenakan kompaun manakala 103 lagi direman.

“Kegagalan merekod butiran diri sebelum masuk ke premis adalah kesalahan tertinggi yang direkodkan melibatkan 127 individu, diikuti tidak memakai pelitup muka (103), tiada penjarakan fizikal (65) dan 274 lagi atas lain-lain kesalahan,” katanya.