- Iklan -
Berita

Penganalisis sangkal dakwaan Najib mampu kembalikan undi Melayu kepada BN

Penganalisis mempersoalkan sejauh mana bekas perdana menteri itu boleh membantu jika diberikan pengampunan diraja.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 2 Mac. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 2 Mac. Gambar: Bernama

Penganalisis dan pemerhati politik menafikan dakwaan daripada sesetengah pihak daripada Umno bahawa bekas perdana menteri, Najib Razak mampu menarik semula sokongan pengundi Melayu kepada Barisan Nasional (BN) seterusnya memberi kelebihan kepada kedudukan kerajaan campuran hari ini.

Najib yang sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah dalam kes SRC International menjadi buah mulut orang ramai apabila Umno memperbaharui usahanya untuk membebaskan bekas presiden mereka itu dengan mengemukakan permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Beliau sebelum ini dikatakan mempunyai potensi membalikkan undi Melayu kepada BN yang menyumbang kepada kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.

Bagaimanapun, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kartini Aboo Talib berkata peralihan undi Melayu pada edisi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ialah kerana mereka menolak rasuah.

"Saya kira orang Umno sahaja yang masih keliru.

“Majoriti Melayu bersama Perikatan Nasional (PN) bukan kerana Najib, tetapi menolak Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi," katanya kepada MalaysiaNow.

Zahid merupakan antara pemimpin “kluster mahkamah” Umno, iaitu senarai pemimpin parti yang didakwa atas kes salah guna kuasa dan rasuah. 

Ketika ini, beliau dalam percubaan menggugurkan puluhan dakwaan dalam kes Yayasan Akal Budi. 

Zahid dilepaskan oleh mahkamah dalam kes Visa Luar Negara. 

Populariti beliau turut merudum di kawasannya sendiri apabila hanya menang dengan majoriti lebih 300 undi di kerusi tradisinya di Bagan Datuk. 

Pada PRU15 lepas, berlaku peralihan undi orang Melayu kepada PN sehingga menumbangkan beberapa kubu kuat BN dan Pakatan Harapan (PH).

PN menjadi blok kedua terbesar selepas PH dengan 74 kerusi.

BN pula kalah teruk dengan hanya 30 kerusi, iaitu kekalahan paling teruk dalam sejarah gabungan itu.

Berikutan itu, beberapa pihak menyalahkan bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob kerana menunggu selepas pemenjaraan Najib untuk membubarkan Parlimen. 

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan Anwar Ibrahim berkemungkinan hilang jawatan perdana menteri sekiranya gagal membantu pembebasan Najib. 

Anwar mengakui berada dalam Lembaga Pengampunan, iaitu lembaga yang bertanggungjawab membebaskan beliau sejurus kemenangan PH pada 2018.

Sokongan Melayu menjadi duri dalam daging untuk kerajaan campuran PH-BN yang masih belum berupaya memenangi hati pengundi kaum itu.

Anwar yang menyedari hakikat itu mencuba kempen optik pada awal pentadbirannya dalam usaha memikat hati pengundi Melayu. 

Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, pembebasan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menerusi pengampunan diraja hanya akan memberi kelebihan kepada PN.

"Pembebasan Najib Razak melalui pengampunan hanya akan menggembirakan penyokong-penyokong Najib dalam Umno.

“Jika orang-orang Melayu melihat pemenjaraan Najib adalah satu kezaliman, Umno telah menang besar pada PRU15," katanya.

Najib yang tewas pada PRU14 mula disiasat dan didakwa dalam beberapa kes, termasuk kes 1MDB yang sedang dibicarakan. 

Selepas kejatuhannya, beliau cuba membangunkan imej baru menerusi kempen “Malu Apa Bosku” yang menyasarkan golongan muda dan orang Melayu.

Umno turut mengkreditkan kejayaan mereka dalam siri Pilihan Raya Kecil kepada pengaruh Najib. 

Namun menurut Azizi yang juga bekas setiausaha eksekutif BN Pulau Pinang, ini adalah pemerhatian yang kurang tepat.

"Kejayaan Umno-BN pada beberapa PRK selepas PRU14 adalah lebih kerana kekecewaan rakyat terhadap kerajaan PH pada masa itu," katanya merujuk kepada pentadbiran 22 bulan PH.