- Iklan -
Berita

PH-BN atau PN kuasai naratif media sosial menjelang 6 PRN?

Penganalisis berkata pembangkang mungkin mempunyai kelebihan kerana jentera kerajaan nampaknya kurang momentum.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Penunggang motosikal melintasi deretan bendera parti politik yang dipasang di Tambun, Perak, pada 17 November 2022, menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November tahun lalu.
Penunggang motosikal melintasi deretan bendera parti politik yang dipasang di Tambun, Perak, pada 17 November 2022, menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November tahun lalu.

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan di enam negeri beberapa bulan lagi, kerajaan dilihat masih gagal menguasai naratif terutamanya di media sosial, kata penganalisis.

Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan campuran selepas “stalemate” pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan menguasai media-media arus perdana.

Namun ini tidak bermakna mereka mampu membentuk naratif politik tanpa dicabar oleh pembangkang. 

Tinjauan MalaysiaNow di laman media sosial mendapati, kos sara hidup yang masih belum diselesaikan menjadi beban kepada kerajaan PH-BN apabila rata-rata orang ramai masih mengeluh mengenai kuasa beli mereka yang semakin berkurangan.

Ini boleh dilihat menerusi ruangan komen di laman berita atau laman popular di platform Facebook.

Isu kos sara hidup membabitkan harga barangan, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan perniagaan kecil yang bergelut dengan jualan yang tidak memberangsangkan.

Selain itu, di Twitter yang didominasi PH, akaun individu-individu yang berpihak kepada kerajaan menjalankan “mogok pro-bono” mereka tersendiri kerana tidak berpuas hati dengan jentera penerangan kerajaan di bawah Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Agus Yusoff. 

Sebagai contoh, penerangan isu pengeluaran KWSP bersasar tidak selari antara penyokong-penyokong kerajaan dan apa yang dijelaskan oleh JKOM.

Bercakap kepada MalaysiaNow, bekas pengarang kanan Utusan Malaysia, Zaini Hassan berkata, berdasarkan situasi di permukaan, pihak pembangkang dilihat lebih agresif terutamanya isu membabitkan pengeluaran KWSP.

"Serangan lebih memihak kepada pembangkang. Cybertrooper PN lebih konsisten berbanding cybertrooper kerajaan sejak PRU15," katanya. 

Pemerhati politik Mak Khuin Weng berkata, berdasarkan pemerhatiannya, PN tidak dilihat segar dalam menggunakan komunikasi namun situasi gagal dimanfaatkan PH. 

"Kenaikan harga barang mendominasi perbincangan awam, dan PH gagal menanganinya. BN pula melontarkan 'bravado' yang tidak dipercayai sesiapa," katanya.

Zaini berkata, isu periuk nasi menjadi “duri dalam daging” ketika pentadbiran Najib Razak dan mampu untuk menjatuhkan kerajaan PH-BN pada enam PRN akan datang. 

"Mana-mana kerajaan wajar menangani isu ini.

“Kerajaan kata inflasi terkawal tetapi sebenarnya kuasa beli rakyat semakin berkurangan," tambahnya. 

BN dilihat masih kehilangan rentak akibat kekalahan memalukan pada PRU15. 

Selain mempertahankan pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi, BN tidak menggunakan platform dalam talian untuk menjuarai isu-isu rakyat. 

Lebih buruk apabila parti itu dilihat terpaksa membuat “pusingan-U” dalam isu pengeluaran wang KWSP. 

Parti itu menjadi tumpuan kerana isu berkaitan pemimpin mereka, daripada kes mahkamah bekas perdana menteri, Najib sehingga lantikan politik di badan-badan kerajaan.

Di pihak PN, TikTok terus menjadi medium utama untuk menarik anak muda. 

Pemimpin seperti Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim dan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor memanfaatkan platform itu untuk memposisikan diri mereka. 

Namun bagi Mak, momentumnya sudah pudar dan ia dilihat hanya mampu mengekalkan penyokong sedia ada dan sukar menarik pengundi baru untuk menyebelahi mereka.

"Saya fikir PN sedang menjimatkan perbelanjaan mereka sehingga tarikh pilihan raya," katanya.

Bekas ketua exco agama Pemuda PKR, Wan Ji Wan Hussin di laman Facebooknya turut mengkritik kelesuan naratif PH.

"Tidak ada kemampuan untuk membawa naratif Islam dalam pendekatan Madani, ekoran itu, di media hanya popular istilah Madani tetapi kandungan Madani, rata-rata tidak tahu pun," katanya merujuk kepada slogan penjenamaan kerajaaan yang diperkenalkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim beberapa bulan lalu. 

Agus sebelum ini mempertahankan Anwar dalam beberapa isu antaranya lawatan ke Arab Saudi dan kenyataan perdana menteri berhubung isu Laut China Selatan. 

Namun menurut Mak, Agus masih belum menangani apa-apa isu penting kerana beliau dilihat tidak mampu melakukannya.

"Beliau hanya dilihat pergi ke sana-sini, siapa pengundi sasarannya?" menurut bekas wartawan itu. 

Sementara itu, Zaini berkata meskipun Agus merupakan ahli akademik yang menjalankan kajian politik, isu propaganda merupakan satu isu yang berbeza. 

"Sepatutnya JKOM sudah kuat kerana PRN hanya berbaki tiga bulan lagi, tetapi kita belum nampak momentum dan gerak saraf. 

“JKOM masih leka manakala pembangkang sangat konsisten."