- Iklan -
Berita

MB Selangor jangka pembahagian kerusi PH-BN selesai akhir bulan ini

Amirudin Shari berkata pembahagian kerusi sepatutnya '80%-90%' selesai pada akhir April.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari. Gambar: Bernama
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari. Gambar: Bernama

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menjangka proses pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dapat diselesaikan dalam 80 hingga 90 peratus menjelang akhir bulan ini, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor berkata perbincangan bersama BN sedang berlangsung dan pihaknya masih memerlukan masa bagi melaporkan dan membentangkannya kepada PH Pusat untuk membuat keputusan. 

“Perbincangan bagi pembahagian kerusi ini memang akan berterusan sehingga ke hari penamaan calon, tetapi kita ada tetapkan tempoh untuk pastikan 80 hingga 90 peratus diselesaikan menjelang akhir April. 

“Mudah-mudahan akan tercapai, tapi kalau tak capai pun kita akan teruskan perbincangan kerana yang pentingnya adalah strategi kita (untuk menghadapi PRN),” katanya kepada media selepas menghadiri majlis penyerahan Insentif Khas Aidilfitri #KitaSelangor kepada Penggerak Masjid dan Guru Rakyat Selangor, di Shah Alam hari ini. 

Menurutnya BN yang kini sebahagian kerajaan perpaduan di negeri itu sudah mula bergerak bersama-sama PH sebagai satu pasukan terutamanya dalam persiapan bagi Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang akan berlangsung pada 14 Mei ini. 

Komposisi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor terdiri daripada PKR (19), DAP (15), Amanah (enam), manakala BN mempunyai lima kerusi selain Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia serta Pejuang masing-masing dua manakala PAS, Warisan dan Bebas masing-masing satu kerusi.