- Iklan -
Berita

Pendakwaan diarah tidak bantah, kes Zahid ditangguh untuk 'siasatan lanjut'

Timbalan pendakwa raya berkata masa yang munasabah diperlukan untuk mempertimbangkan permohonan itu berikutan representasi terbaru oleh presiden Umno itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 10 April. Gambar: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 10 April. Gambar: Bernama

Pihak pendakwaan dalam kes rasuah Ahmad Zahid Hamidi terhadap dana Yayasan Akalbudi hari ini berkata mereka diarahkan oleh peguam negara untuk tidak membantah permohonan penangguhan perbicaraan sementara menunggu keputusan mengenai surat representasi bagi menggugurkan pertuduhan terhadap timbalan perdana menteri itu.

Peguam Zahid, Hamidi Mohd Noh sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa presiden Umno itu sudah menghantar surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menggugurkan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram terhadapnya.

“Kami telah menulis surat representasi pada Januari dan kami menghantar kesinambungan dan representasi baru dengan beberapa fakta dan bukti baru berhubung pertuduhan itu kepada AGC pada Februari,” katanya.

Beliau juga memohon hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah, yang kini hakim Mahkamah Rayuan untuk menangguhkan prosiding hari ini sementara menunggu keputusan Peguam Negara Idrus Harun mengenai representasi itu.  

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob kemudian memberitahu hakim beliau menerima arahan daripada peguam negara untuk tidak membantah permohonan itu.

"Arahan saya (daripada peguam negara) tidak membantah permohonan penangguhan ini. Surat itu banyak dan mempunyai isu rumit untuk dipertimbangkan," katanya, merujuk kepada surat 200 halaman.

"Apabila kami meneliti dokumen ini, terdapat isu rumit yang dibangkitkan dalam surat ini. Justeru, selepas berunding dengan pihak atasan, saya diarahkan untuk tidak membantah hari ini. Pihak pendakwaan memerlukan masa untuk mempertimbangkannya," tambahnya dalam laporan itu. 

Malik juga memberitahu Sequerah bahawa perkara itu sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan beliau sedang menunggu keputusan agensi itu.

“Kami belum menerima sebarang maklumat berhubung siasatan SPRM, tetapi pihak pendakwaan memerlukan hasil siasatan untuk memutuskan permohonan representasi.

“Kami tidak tahu sama ada SPRM sudah memulakan siasatan atau tidak, justeru untuk melengkapkan keseluruhan proses, kami memerlukan hasil siasatan,” katanya.

Sequerah kemudian membenarkan kes itu ditangguhkan sehingga 1 Ogos. 

Zahid, yang juga menteri pembangunan desa dan wilayah, berdepan 12 pertuduhan pecah amanah jenayah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bulan lalu, beliau berjaya mendapatkan pasport antarabangsanya secara kekal, bagi tujuan menjalankan tugas rasminya di luar negara. 

Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan. 

Mahkamah Rayuan membenarkan permohonannya, membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini dengan Sequerah menolak permohonannya.