- Iklan -
Berita

Projek JanaWibawa bernilai RM7.2 bilion dibatalkan

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Ahmad Zahid Hamidi berkata projek itu akan ditender semula.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berucap di Machang, 9 April. Gambar: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berucap di Machang, 9 April. Gambar: Bernama

Sebanyak RM7.2 bilion nilai projek yang diserahkan kepada kontraktor Program Jana Wibawa membabitkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dibatalkan, kata menterinya Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga timbalan perdana menteri berkata keputusan untuk membatalkan tender tersebut dilakukan oleh Kementerian Kewangan dan projek itu akan ditender semula.

"Kita tahu ada sedikit gangguan dari segi pelaksanaan dan yakinlah sekiranya tata etika dan peraturan diikuti ia akan dilakukan dengan segera, insya-Allah projek itu akan siap dalam tempoh yang ditentukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan Negeri Kelantan 2023 di Pusat Transformasi Ilmu Bukit Tiu, di Machang hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Ahmad Jazlan Yaakub.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan berkata syarikat yang terbabit dalam projek Program Jana Wibawa yang dilaksanakan ketika pandemik Covid-19, berpeluang menyertai tender terbuka yang akan dikeluarkan kerajaan.