- Iklan -
Berita

Sejak bila SPRM ada kuasa siasat etika hakim, soal peguam

Rafique Rashid turut mempersoalkan jangka masa pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Logo Suruhanjaya Pencegaahan Rasuah Malaysia di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, 1 Mac 2022.
Logo Suruhanjaya Pencegaahan Rasuah Malaysia di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, 1 Mac 2022.

Seorang peguam kanan mempersoalkan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Azalina Othman Said selepas mendedahkan Hakim Mahkamah Rayuan, Nazlan Mohd Ghazali yang dikatakan melanggar Kod Etika Hakim.

Rafique Rashid mempersoalkan sejak bilakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai bidang kuasa untuk melakukan siasatan ke atas seseorang hakim dalam sistem kehakiman negara.

Menurut Rafique, Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010 jelas menunjukkan kuasa penuh terletak pada ketua hakim negara sebagai ketua jawatankuasa.

Menurut Seksyen 5 (1) (Keanggotaan Jawatankuasa) menyatakan jawatankuasa hendaklah dalam bilangan ganjil dan terdiri daripada orang yang memegang jawatan atau yang pernah memegang jawatan sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi sebagaimana yang difikirkan patut oleh Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan untuk dilantik.

Manakala Seksyen 5 (2) pula menyatakan: "Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan hendaklah menjadi Pengerusi Jawatankuasa, melainkan beliau merupakan pengadu dalam hal tersebut, hakim kanan yang berikutnya hendaklah menjadi pengerusi." 

Semalam, Azalina dilaporkan mengesahkan perkara itu mengatakan hasil siasatan SPRM terhadap Nazlan yang mendapati beliau mempunyai konflik kepentingan ketika mengetuai kes SRC International Sdn Bhd melibatkan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Rafique turut menegaskan prosiding siasatan jawatankuasa pula perlu dijalankan secara tertutup dan penuh sulit tanpa pengetahuan umum.

"Kerana isu integriti (kehakiman) penting.

"Menteri dan SPRM pula umum ke seluruh dunia," katanya kepada MalaysiaNow.

Sejak semalam, Azalina menerima kritikan terutamanya dalam kalangan pengamal undang-undang yang menyifatkan kenyataan beliau mengenai siasatan SPRM terhadap Nazlan sebagai serangan kepada institusi kehakiman negara.

Tular di media sosial mendesak Azalina tampil membuat penjelasan mengenai perkara tersebut.

"Azalina mesti letak jawatan sebagai menteri undang-undang dan reformasi institusi kerana gagal mengekalkan kesaksamaan dalam tugasnya," tulis Eddy Daud di Twitter.

Ada juga yang mengaitkan tindakan Azalina sebagai cubaan untuk menyelamatkan Najib selepas bekas pemimpin itu gagal dalam usaha mengetepikan sabitan 12 tahun penjara ke atas dirinya.

"Dia patut letak jawatan! Dia menunjukkan berat sebelahnya terhadap penjenayah yang disabitkan kesalahan Najib Razak yang melakukan kes kleptokrasi terbesar di dunia!

"Dia patut letak jawatan dan perjuangkan Najib!" tulis Rais Husin di Twitter.

Sehingga kini, masih tiada jawapan dan kenyataan balas berhubung isu berkenaan.

Mengulas lanjut, Rafique juga mempersoalkan "timing" atau jangka masa surat SPRM yang tular dan kenyataan Azalina dilihat selari dengan jangka masa pengesahan surat permohonan pengampunan terbaru oleh Najib.

"Jika kita menelusuri penghakiman Mahkamah Persekutuan kita akan dapati isu konflik kepentingan, ya Nazlan jelas diputuskan tidak bermerit.

"Kini, timbul pula kononnya ada asas pelanggaran kod etika.

“Seolah-olah mempersoalkan keputusan Nazlan selepas seluruh proses rayuan selesai. Bukankah ini pelik?"