- Iklan -
Berita

Isu kebocoran siasatan SPRM terhadap hakim Nazlan dijelaskan di Dewan Rakyat, kata Azalina

Menteri itu berkata beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa perkara itu terletak di bawah bidang kuasa ketua hakim negara.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said. Gambar: Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said. Gambar: Bernama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said menjelaskan beliau telah memberi jawapan secara lisan di Dewan Rakyat pada 23 Februari lepas berhubung isu kebocoran penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan hasil siasatannya.

Menerusi satu kenyataan di Kuala Lumpur malam tadi, beliau berkata perkara itu telah dibangkitkan Ahli Parlimen Tenggara Manndzri Nasib dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan pada persidangan tersebut.

Azalina berkata beliau telah menjelaskan bahawa SPRM melalui surat bertarikh 21 Februari lepas memaklumkan bahawa satu laporan siasatan suruhanjaya itu terhadap Nazlan sudah dikemukakan kepada ketua hakim negara berhubung pelanggaran Kod Etika Hakim 2009.

“Saya juga telah memaklumkan dalam Dewan Rakyat bahawa perkara ini tertakluk kepada keputusan Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara selaras Fasal-Fasal 3 dan 3A Perkara 125, Perlembagaan Persekutuan.

Jawapan balas saya kepada surat Tetuan Shafee & Co adalah selaras dengan jawapan saya di Dewan Rakyat serta fakta yang saya sedia maklum berkenaan dengan perkara ini dalam melaksanakan tanggungjawab saya selaku anggota pentadbiran kepada Parlimen,” katanya. 

Azalina juga meminta Tetuan Shafee & Co untuk mengemukakan permohonan secara rasmi kepada SPRM sekiranya berhasrat untuk mendapatkan hasil siasatan berkenaan.    

“Seperti mana yang saya tegaskan sebelum ini di dalam Dewan Rakyat, apa-apa perkara berkaitan ini adalah di bawah bidang kuasa Badan Kehakiman.

Kerajaan senantiasa menghormati dan terus berpegang kepada prinsip doktrin pengasingan kuasa,” katanya.