- Iklan -
Berita

Di Pulau Pinang, cabaran PH-BN rebut kembali undi Melayu

Walaupun kerajaan negeri secara keseluruhannya tidak mungkin berubah, sokongan di kerusi Melayu mungkin berpaling mengikut sentimen pengundian yang dilihat pada PRU15.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pelancong dan penduduk tempatan bersiar-siar di Jalan Armenia di George Town semasa cuti Tahun Baru Cina. Foto: Bernama
Pelancong dan penduduk tempatan bersiar-siar di Jalan Armenia di George Town semasa cuti Tahun Baru Cina. Foto: Bernama

Pertarungan merebut undi Melayu dijangka menjadi hangat di Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan pada pertengahan tahun ini.

Ini kerana Pakatan Harapan (PH) dilihat tidak mempunyai parti komponen yang kuat dalam mendepani cabaran yang akan diberikan oleh Perikatan Nasional (PN).

Meskipun prospek menukar kerajaan negeri agak mustahil dengan undi bukan Melayu masih kuat kepada DAP, saingan PN untuk merebut kerusi Melayu bukan satu perkara yang wajar dipandang enteng oleh gabungan PH dan Barisan Nasional (BN). 

Bercakap kepada MalaysiaNow, pemerhati politik Azizi Safar menjangkakan saingan sengit jika pola pengundian dan sentimen pengundi kekal seperti Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"PN akan menang lebih banyak kerusi-kerusi Melayu. 

“Faktor pendakwaan terhadap beberapa pemimpin Bersatu tidak akan jejas sokongan kepada PN, sebaliknya mungkin berlaku peningkatan sokongan," katanya kepada MalaysiaNow.

Azizi merujuk kepada pendakwaan terhadap bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin dan Ahli Parimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan baru-baru ini.

Pulau mutiara itu mempunyai 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana 14 daripadanya ialah kerusi Melayu. 

Sebanyak 14 kerusi Melayu itu akan dibahagikan antara parti komponen PH dan BN.

14 kerusi itu ialah Penaga, Permatang Berangan, Sungai Dua, Penanti, Pinang Tunggal, Permatang Pasir, Bertam, Seberang Jaya, Telok Ayer Tawar, Sungai Acheh dan Sungai Bakap di bahagian Seberang Perai.

Manakala di bahagian Pulau ialah kerusi Telok Bahang, Pulau Betong dan Bayan Lepas.

Pada PRU15 lalu, Pulau Pinang turut menyaksikan kerusi Melayu beralih kepada PN terutama apabila penyandang kerusi Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar tumpas kepada Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.

Menurut Azizi, sukar untuk Umno mengetuai gabungan parti kerajaan merebut semula undi Melayu. 

Ini kerana Umno dilihat masih “sesak nafas” dapat mendapatkan kembali sokongan orang Melayu.

"PKR pula lebih berpotensi hilang kerusi-kerusi mereka. PKR ada lebih banyak kerusi berbanding Umno pada masa ini. 

“Oleh itu PKR lebih perlu 'deliver' kerusi kepada gabungan politik BN-PH berbanding Umno," katanya.

Daripada 14 kerusi Melayu itu, 11 dimenangi PH pada PRU14 lalu, manakala dua dimenangi Umno dan satu daripada PAS.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke sebelum ini memberikan masa sebulan untuk BN dan PH berbincang mengenai agihan kerusi DUN negeri itu. 

"Umno dijangka mendapat antara tiga hingga lima kerusi," menurut Azizi yang juga bekas setiausaha eksekutif BN Pulau Pinang. 

Dalam pada itu, katanya Gerakan, parti  komponen PN yang dahulu membentuk kerajaan negeri dan menjawat ketua menteri, dijangka masih tidak boleh menang walaupun satu kerusi. 

"Paling kasihan, MCA dan MIC mungkin tak ada kerusi DUN untuk bertanding di Pulau Pinang."