- Iklan -
Berita

Usul PN berhubung lawatan PM ke Arab Saudi ditolak

Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memaklumkan perkara tersebut di Dewan Rakyat hari ini selepas menerima jawapan balas daripada pejabat Speaker Dewan Rakyat sebelum itu.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail ahli Parlimen hadir persidangan Dewan Rakyat. Gambar: Bernama
Gambar fail ahli Parlimen hadir persidangan Dewan Rakyat. Gambar: Bernama

Usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dari Perikatan Nasional (PN) berhubung lawatan rasmi Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini ditolak.

Wakil rakyat daripada PN itu memaklumkan perkara tersebut di Dewan Rakyat hari ini selepas menerima jawapan balas daripada pejabat Speaker Dewan Rakyat sebelum itu.

Menurut beliau, usaha menanyakan soalan berkaitan lawatan itu pada sesi pertanyaan menteri yang disertai perdana menteri pagi tadi turut ditolak.

"Jadi saya nak minta apakah saluran lain yang boleh saya bawa ke Dewan Rakyat ini untuk Kementerian Luar Negeri menjelaskan kepada kami apa yang sebenarnya berlaku di Arab Saudi minggu lalu?," soal beliau kepada Timbalan Speaker Ramli Mohd Nor.

"Kami menuntut daripada Kementerian Luar Negeri tentang apa yang berlaku di Riyadh minggu lalu."

Pada masa sama, Ahli Parlimem Kota Bharu Takiyuddin Hassan mempersoalkan kerajaan sama ada akan menggunakan Peraturan 14(1)(i) Dewan Rakyat untuk memberi penjelasan kepada dewan dan seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, isu yang diusulkan Fayhsal merupakan isu kepentingan awam dan wajar diberi penjelasan.

"Seluruh rakyat Malaysia mahu mendengar hakikat sebenarnya apa yang berlaku dalam hal ini.

"Usul ditolak, MQT (Waktu Pertanyaan Menteri) ditolak, kemudian mana lagi saluran yang Dewan Rakyat ini nak berikan?" soal Takiyuddin.

Minggu lalu, Anwar bersama rombongannya mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi yang mana mereka gagal bertemu dengan pemerintah "de facto" kerajaan Putera Mahkota Mohammed Bin Salman.

Sejak itu, wakil rakyat PN menuntut penjelasan daripada kerajaan berhubung lawatan itu terutamanya di Dewan Rakyat.

Sebagai maklum balas daripada persoalan Fayhsal, timbalan speaker meminta supaya beliau merujuk Peraturan 43 yang menyebut:

"Tuan Yang di-Pertua dalam Majlis Mesyuarat atau Pengerusi dalam Jawatankuasa adalah tertanggung ke atasnya menjaga supaya peraturan-peraturan majlis mesyuarat atau jawatankuasa diendahkan, dan keputusannya berkenaan dengan apa-apa perkara peraturan mesyuarat tidak boleh diminta timbangkan semula dan tidak boleh diulangkaji oleh majlis mesyuarat kecuali dengan dikeluarkan usul bersendiri kerana itu. 

“Usul demikian ini tidak berkehendak dikeluarkan pemberitahu lebih daripada dua hari terlebih dahulu."