- Iklan -
Berita

Kerajaan Anwar banyak ‘cakap’ tapi tiada hasil, kata Mahathir

Bekas perdana menteri itu berkata terlalu banyak perkara yang sudah pun disebut-sebut untuk disegerakan namun masih tiada hasil yang ditunjukkan oleh barisan menteri dan anggota kerajaan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim tiba di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur untuk membentangkan Bajet 2023, 24 Februari.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim tiba di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur untuk membentangkan Bajet 2023, 24 Februari.

Kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilihat hanya banyak bercakap dan menabur janji tetapi tidak melaksanakan apa yang dijanjikan, kata Dr Mahathir Mohamad. 

Bercakap dalam satu sidang media di Putrajaya awal hari ini, beliau berkata terlalu banyak perkara yang sudah pun disebut-sebut untuk disegerakan namun masih tiada hasil yang ditunjukkan oleh barisan menteri dan anggota kerajaan. 

Sebagai contoh, katanya, pemimpin utama negara sering menyebut mahu menjadi kerajaan Madani tapi sehingga kini tidak ada apa pun yang berlaku. 

Selain itu katanya, keadaan ekonomi dan kos sara hidup rakyat juga masih teruk.

"Keadaan politik pun tak stabil. Setiap hari sebut benda yang dia nak buat tapi tak nampak apa pun," katanya ketika ditanya pemberita tentang prestasi semasa kerajaan Anwar. 

Mengulas lanjut, Mahathir juga meluahkan rasa kurang yakinnya terhadap kerajaan untuk membela nasib orang Melayu khususnya mereka yang terperangkap dalam kemiskinan. 

Menurut Mahathir lagi, masa depan orang Melayu amat gelap kerana ada yang terpaksa bergadai aset seperti jual tanah untuk meneruskan kelangsungan hidup masing-masing. 

"Mereka dah jual (tanah) kerana miskin. Jika ini berterusan kita akan dapati orang Melayu tak ada tanah sendiri. Tak ada apa-apa aset pun. 

"Saya tak yakin sama sekali kerajaan kini boleh bela orang Melayu," katanya. 

Bahkan, kerajaan pula katanya setiap kali dibincangkan tentang kemiskinan orang Melayu mereka akan menjawab bahawa kemiskinan tidak berlaku kepada satu kaum sahaja tetapi merentas semua kaum dan agama. 

Sikap ini katanya lebih sukar untuk membasmi kemiskinan kerana bukan mudah untuk membantu ekonomi orang Melayu sejak dari dahulu lagi.

Katanya, mereka tidak cekap dalam selok belok perniagaan menyebabkan banyak peluang-peluang dan bantuan dari kerajaan tidak boleh dimanfaatkan. 

"Ahli Parlimen Melayu pula amat setia dengan parti. Kalau parti mereka menyamun pun mereka sokong. Mereka tak bertindak sebagai orang Melayu tapi ahli parti. 

"Kita kurang yakin mereka bertindak sebagai oramg Melayu tapi orang parti."

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi