- Iklan -
Berita

Ada pemimpin kerajaan disiasat pihak berkuasa, kata Anwar

Perdana menteri berkata, sama pendakwaan akan dibuat atau tidak bergantung kepada Jabatan Peguam Negara dan tidak akan menerima campur tangan pihak kerajaan.

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, 14 Februari. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, 14 Februari. Gambar: Bernama

Ahli politik daripada blok kerajaan juga sedang disiasat pihak berkuasa, namun butiran mengenai mereka tidak dapat dipastikan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Anwar berkata, sama pendakwaan akan dibuat atau tidak bergantung kepada Jabatan Peguam Negara dan tidak akan menerima campur tangan pihak kerajaan.

"Saya tidak tahu khusus tetapi saya dimaklumkan memang ada siasatan melibatkan pembangkang dan juga blok kerajaan," kata Anwar pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri.

"Saya tidak tahu jawatannya dan sebagainya kerana bila ada soalan ini, saya hanya bertanya kepada pihak penguatkuasaan, mereka sahkan memang ada siasatan."

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff yang bertanyakan sekiranya terdapat sebarang siasatan dijalankan terhadap ahli-ahli Parlimen di blok kerajaan dan juga dana yang diterima parti politik supaya tidak timbul pertikaian adanya pendakwaan terpilih.

Mengulas mengenai siasatan dana politik, beliau juga terbuka untuk membangkitkan isu itu jika terdapat bukti parti yang diwakilinya turut terlibat dengan rasuah.

Pada masa sama, Anwar menjelaskan bahawa undang-undang sedia ada membolehkan mana-mana individu atau pihak menderma kepada parti politik.

Namun, katanya, ia akan menjadi masalahnya sekiranya derma itu dibuat jika terdapat unsur rasuah.

"Jika ada permasalahan bahawa ada unsur rasuah dalam parti keadilan, itu pun boleh dibangkitkan, saya tiada masalah bab itu.

"Cuma soalnya, kena faham undang-undang, tidak ada percanggahan dari sudut undang-undang untuk mana-mana orang derma kepada parti politik.”