Wakil rakyat DAP dakwa tindakan berat sebelah dalam kes hina agama
Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau berkata tindakan serta-merta diambil hanya terhadap mereka yang mengkritik agama Islam.
Terkini
Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau dari DAP mempersoalkan status keadilan di Malaysia apabila mendakwa berlaku pendakwaan terpilih apabila pihak berkuasa hanya mengambil tindakan serta-merta terhadap mereka yang mengkritik agama Islam.
Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) itu menyifatkan situasi ini sebagai layanan yang tidak sama rata apabila individu beragama Islam tidak dikenakan tindakan secepat itu sekiranya mengkritik agama lain.
Katanya, ini tidak selari dengan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan undang-undang adalah sama kepada semua pihak dan melarang diskriminasi.
"Tetapi apa yang kita dapati ialah, apabila dua individu yang dikatakan pendakwah bebas, apabila mengkritik agama selain daripada Islam, apabila ada 1,000 laporan polis, tiada tindakan," katanya dalam sesi Pertanyaan Jawab Lisan.
"Bawa ke mahkamah, appeal (fail rayuan), selepas itu kata NFA (tiada tindakan lanjut).
"Sedangkan apabila ada pihak yang mengkritik di ‘sebelah sana', 24 jam ditangkap dan masuk dalam penjara. Di mana perginya kedaulatan undang-undang? Di mana perginya keadilan, sama rata kepada semua pihak?"
Terdahulu, Ganabatirau bertanya kepada Menteri Perpaduan Aaron Ago Dagang, sekiranya kerajaan akan berlaku adil dalam memastikan segala penghinaan terhadap semua kaum dan agama dihentikan.
Dalam jawapannya Aaron berkata kerajaan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak tanpa menjurus kepada kaum dan agama.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Bharu Takyuddin Hassan, tampil menjelaskan bahawa Islam tidak pernah memaksa golongan bukan Islam untuk memeluk agama ini dan melarang sebarang penghinaan kepada agama lain.
"Tetapi dalam konteks perlembagaan negara yang meletakkan bahawa tidak boleh ada usaha untuk menarik orang Islam daripada memeluk agama lain.
"Ada undang-undang (sama) di negeri juga," tambah beliau.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.