- Iklan -
Berita

Impian menjadi ahli muzik remaja tanpa kewarganegaraan

Eugene seorang pelajar yang baik dan aktif dalam bidang muzik dan renang, tetapi tidak boleh mendapatkan lesen memandu kerana kekurangan dokumen rasmi.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Tanpa kewarganegaraan, pelbagai perkara sukar atau mustahil dilakukan seseorang individu termasuk hadir ke sekolah dan mendapatkan lesen memandu. Gambar: Bernama
Tanpa kewarganegaraan, pelbagai perkara sukar atau mustahil dilakukan seseorang individu termasuk hadir ke sekolah dan mendapatkan lesen memandu. Gambar: Bernama

Eugene (bukan nama sebenar) berusia 17 tahun pada tahun ini.

Remaja lelaki itu akan berdepan dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan menentukan masa depannya.

Eugene dibesarkan oleh keluarga angkatnya.

Ibunya yang hanya mahu dikenali sebagai Puan Low (bukan nama sebenar) mengambilnya ketika bayi kerana ibu kandungnya tidak mampu membesarkan remaja tersebut.

Sejak itu, Eugene tidak pernah  bertemu dan mengenali ibu bapa kandungnya.

Sijil kelahiran pertamanya menunjukkan status warganegara, namun ketika dia berusia 12 tahun dan ingin memohon kad pengenalan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak mengeluarkannya.

Sebaliknya, statusnya sebagai pemohon ditukar kepada “belum ditentukan” kerana kekurangan maklumat lanjut mengenai ibu bapa kandungnya.

"Saya membayar levi untuknya bagi membolehkan Eugene memasuki sekolah kerajaan," tutur ibu angkatnya.

Menurut wanita itu, usaha untuk mendapatkan kerakyatan bagi anak angkatnya itu sudah pun dilakukan sejak 2019 namun masih tiada reaksi positif daripada pihak berkuasa.

"Anak angkat saya dibesarkan di Malaysia dan bertutur lancar dalam bahasa Melayu serta arif mengenai adat serta budaya di Malaysia."

Puan Low juga berdepan kesukaran membayar yuran persekolahan yang lebih mahal kerana status anaknya.

Ia bukanlah murah untuk wanita tersebut dan berdepan kesukaran sejak perceraiannya dengan bekas suami pada 2013.

Menurut Puan Low lagi, Eugene juga sudah perlu memasuki sekolah memandu untuk membolehkannya memandu kenderaan.

Tetapi itu juga tidak boleh dilakukannya kerana ketiadaan dokumen.

Selain cuba membidik nasib dalam bidang akademik, Eugene juga mempunyai minat yang mendalam terhadap muzik.

"Saya telah mengikuti pelajaran gitar akustik Gred 3 dan kini sedang mempelajari gitar elektrik Gred 5," kata Eugene yang ingin menjadi pemain gitar profesional.

Eugene juga lulus peperiksaan muzik dengan cemerlang pada tahun lalu dan aktif dengan satu band tempatan yang mana dia sering membuat persembahan bersama-sama ahli band yang lain.

Kehidupan dan pergerakan Eugene juga lebih terhad.

Jelasnya, ketika ahli keluarganya yang lain bercuti ke luar negara, dia hanya duduk di rumah berseorangan.

Eugene juga boleh dianggap sebagai pelajar yang mempunyai pelbagai bakat.

Dia menyertai pertandingan renang pada 2017 dan menyertai aneka kem dan program berkaitan mata pelajaran sains dan teknologi.

Bagi Puan Low, kebimbangan terbesarnya sekarang ialah masa depan anaknya yang semakin meningkat dewasa.

"Bagaimana saya boleh menghantarnya ke kolej? 

“Dia ingin menyambung pelajaran di United Kingdom dalam bidang muzik," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.