- Iklan -
Berita

Khutbah Jumaat di Selangor kutuk LGBT, beri amaran umat Islam supaya tidak menyokongnya

Ia mengatakan adalah dilarang bagi mana-mana individu atau kumpulan untuk secara terbuka menyokong perjuangan LGBT.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Khutbah Jumaat di masjid-masjid di Selangor memberi amaran kepada umat Islam supaya tidak menyokong perjuangan LGBT, menyifatkannya sebagai 'tabiat sesat'.
Khutbah Jumaat di masjid-masjid di Selangor memberi amaran kepada umat Islam supaya tidak menyokong perjuangan LGBT, menyifatkannya sebagai 'tabiat sesat'.

Khutbah Jumaat di masjid-masjid di Selangor hari ini memberi amaran kepada umat Islam supaya tidak menyokong perjuangan LGBT, menyifatkan mereka yang mengamalkan homoseksualiti ini terlibat dalam "tabiat sesat" yang akan mengundang kemurkaan Allah.

“Orang Islam yang beriman dan bertakwa wajib menolak LGBT dan menolak kumpulan liberal yang mendukung tabiat songsang ini,” menurut teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), merujuk kepada gerakan lesbian, gay, biseksual, dan transgender.

“Pengamal-pengamal LGBT dan yang mempertahankannya hendaklah kembali bertaubat, menyesal dan tidak mengulangi perbuatan haramnya. Kecenderungan seks songsang adalah tabiat yang boleh diubah melalui mujahadah nafsu yang berterusan”.

Amaran itu hadir berikutan pembatalan acara hiburan yang dirancang di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur yang mana penganjur berkata akan menampilkan persembahan lelaki sasa berpakaian dalam wanita atau lebih dikenali sebagai “Thai Hot Guy”.

Susulan bantahan keras daripada PAS dan pemimpin Islam yang mengecam rancangan sedemikian kerana bertentangan dengan budaya dan sensitiviti tempatan, penganjur bertindak membatalkan acara tersebut.

Awal bulan ini, perarakan Hari Wanita di Kuala Lumpur menyaksikan sekumpulan aktivis LGBT menyeru hak sama rata, mencetuskan kritikan daripada PAS serta siasatan polis.

Perarakan ini antara lain dianjurkan oleh Sisters In Islam (SIS), selepas gagal dalam rayuan untuk menolak fatwa di Selangor pada 14 Mac lalu yang melabelkan kumpulan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Khutbah hari ini turut menyerang SIS dan menyeru umat Islam supaya mengikut ajaran Islam yang betul iaitu "suci dan tidak tercemar".

“Orang Islam wajib menjauhi fahaman dan pemikiran liberalisme selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang menyatakan SIS dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

“Mana-mana individu atau kumpulan yang menyatakan sokongan terhadap hak asasi LGBT adalah haram kerana perbuatan yang menyokong kepada kemungkaran boleh merosakkan akidah.”