- Iklan -
Berita

Muhyiddin cadang kerajaan laksana rangsangan bersasar bantu PMKS pulih ekonomi

Bekas perdana menteri itu berkata berdasarkan maklumat yang diterima, sektor ekonomi ini mungkin akan runtuh sekiranya tiada intervensi daripada pihak kerajaan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Peniaga melayan pelanggan di gerai mereka di Jalan Tasik Permaisuri, Cheras.
Peniaga melayan pelanggan di gerai mereka di Jalan Tasik Permaisuri, Cheras.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin meminta kerajaan mempertimbangkan suntikan pakej rangsangan ekonomi secara bersasar kepada golongan rentan yang disifatkan masih bergelut dengan keadaan ekonomi mencabar selepas pandemik.

Bekas perdana menteri itu berkata, mereka ini juga termasuklah penggiat dan pengusaha dalam sektor mikro, kecil dan sederhana (PMKS), sektor pembinaan dan pelancongan dan yang dilihat paling terkesan meskipun negara sudah beralih ke fasa endemik Covid-19.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, berdasarkan maklumat yang diterima sekiranya tiada intervensi daripada pihak kerajaan mungkin sektor-sektor ini akan runtuh.

Atas sebab itu, beliau bertanya sama ada Kabinet dan bukan sahaja menteri ekonomi untuk melihat permasalahan ini secara khusus bagi menangani masalah sektor-sektor ini bagi tempoh segera contohnya buat tempoh dua tahun sahaja.

"Katakanlah, sebanyak RM100 hingga RM200 bilion yang mana libatkan fiskal iaitu suntikan kerajaan.

"Ataupun non fiskal macam moratorium bank. Kerajaan tidak keluar satu sen pun. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kerajaan tak keluar satu sen.

"Tapi saya tahu pendirian kerajaan Madani ini, sekarang ini kata semua itu tak boleh dilaksanakan," katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini kepada Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Pada tahun 2020, Muhyiddin menjadi perdana menteri dan memimpin negara dalam tempoh krisis pandemik Covid-19 yang menyaksikan penutupan aktiviti perniagaan dan sosial.

Ketika itu, kerajaan PN melaksanakan pelbagai insentif dan pakej rangsangan ekonomi yang berjumlah lebih RM530 bilion bagi membantu meringankan beban rakyat Malaysia dan juga usahawan tempatan yang terjejas teruk akibat pandemik itu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata meskipun kerajaan dilihat sudah menyusun atur strategi untuk menangani permasalahan tersebut tetapi ianya dilihat mengambil masa yang amat lama.

Dikhuatiri mereka yang berada dalam sektor-sektor tersebut tidak mampu bertahan dan akan terus terperangkap dalam cabaran ekonomi semasa.

"Saya bimbang tahun ini keadaan akan bertambah lebih teruk.

"Mungkin bertambah orang akan hilang pekerjaan, pendapatan juga tak ada.

"B40 sudah jadi B61. Jika tiada ketegasan kerajaan, apa langkah yang nak dibuat segera supaya masalah ini tidak akan berlaku?"

Rafizi ketika menjawab soalan Muhyiddin berkata, keadaan tidak akan menjadi lebih teruk berbanding tempoh tiga tahun lalu.

Ini kerana katanya unjuran dan keadaan semasa menunjukkan keadaan itu tidak akan berlaku kecuali pada sektor pertanian.

Terdahulu, Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang pernah dipengerusikan Muhyiddin mencadangkan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob supaya menyalurkan RM6.08 bilion melalui skim Geran Khas Prihatin (GKP) kepada lebih sejuta pengusaha PMKS.

Ini bagi membantu meringankan bebanan ditanggung golongan itu yang menjadi kumpulan paling terkesan akibat pandemik Covid-19.