- Iklan -
Berita

Kelab malam KL mohon maaf, batalkan acara 'Thai Hot Guy'

Privacy Tun Razak berkata kelab malam itu menghormati sensitiviti agama di Malaysia.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bahan promosi pembukaan rasmi kelab malam Privacy Tun Razak di Kuala Lumpur.
Bahan promosi pembukaan rasmi kelab malam Privacy Tun Razak di Kuala Lumpur.

Kelab malam yang menimbulkan kontroversi susulan penganjuran acara yang menampilkan persembahan lelaki sasa berpakaian dalam wanita atau dikenali sebagai “Thai Hot Guy” memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku, sambil menambah ia akan membatalkan program tersebut bagi menghormati sensitiviti kaum dan agama.

Privacy Tun Razak dalam satu kenyataan berkata siaran awam mengenai "kegiatan tidak sah dan tidak bermoral" dibuat berhubung pembukaan rasminya.

“Privacy Tun Razak menghormati negara yang mempunyai pelbagai agama dan bangsa dan pihak kami tidak akan melanggar undang-undang isu-isu keagamaan negara ini. Selain itu pihak kami tidak berniat untuk mengadakan pertunjukan anti-tradisional yang secara tidak langsung menyentuh sensitiviti masyarakat setempat,” menurut kelab malam itu.

“Kami sekali lagi memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku atas dasar menghormati sensitiviti kaum dan agama, program tersebut telah dibatalkan.”

Kelab malam yang terletak di ibu kota itu menjadi tajuk utama selepas PAS menyuarakan bantahan terhadap penganjuran acara tersebut yang disifatkannya sebagai "tidak sensitif", "tidak bermoral" dan "menjijikkan".

Parti itu juga mempersoalkan penggunaan nama bekas perdana menteri pada kelab malam itu, menganggapnya sebagai satu penghinaan.

Pejabat Perdana Menteri kemudian berkata, siasatan awal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati premis itu dilesenkan sebagai restoran kepada syarikat Beijing 9 Sdn Bhd.

Pejabat Perdana Menteri menambah, lesen restoran syarikat terbabit telah tamat pada 4 Februari 2021 yang lalu.

“Premis itu juga tidak mempunyai lesen hiburan dan juga tiada sebarang permohonan lesen hiburan atau permohonan untuk menjalankan aktiviti hiburan.”