- Iklan -
Berita

Mahkamah batalkan kemenangan PRU15 PN di Kemaman

Ia merupakan kerusi Parlimen kedua di Terengganu yang diisytiharkan terbatal dan tidak sah.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Che Alias Hamid. Gambar: Facebook
Che Alias Hamid. Gambar: Facebook

Mahkamah Pilihan Raya hari ini membatalkan kemenangan calon Perikatan Nasional Che Alias Hamid bagi kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Hakim Anselm Charles Fernandis membenarkan petisyen pilihan raya itu, selepas mendapati terdapat sogokan di beberapa majlis rasmi kerajaan Terengganu melalui dana bantuan i-Belia dan i-Siswa yang diagihkan semasa tempoh berkempen PRU15 bagi meraih undi kepada Che Alias.

Mahkamah juga mengarahkan kos sebanyak RM30,000 untuk dibayar oleh responden kepada pempetisyen.

Keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan pempetisyen yang juga pengundi kawasan tersebut, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil untuk mengembalikan semula petisyen berkenaan menjalani perbicaraan penuh pada 2 Mei lalu.

Sebelum ini pada 13 Februari, Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen itu apabila membenarkan bantahan awal oleh Che Alias berhubung petisyen yang dikatakan mengandungi fakta cacat dan tidak sah bagi menyokong dakwaan rasuah semasa PRU15.

Pada PRU15 lepas, penyandang kerusi itu, Che Alias menewaskan bekas menteri besar Terengganu dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Ahmad Said dengan majoriti 27,179 undi dalam pertembungan empat penjuru. 

Kerusi Parlimen Kemaman adalah kerusi Parlimen kedua di Terengganu yang diisytiharkan terbatal dan tidak sah. 

Pada Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan PAS Ahmad Amzad Hashim di Kuala Terengganu selepas membenarkan petisyen pilihan raya oleh calon BN untuk kerusi itu, Mohd Zubir Embong. 

Amzad mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu susulan Pilihan Raya Kecil pada 12 Ogos.