- Iklan -
Berita

Tiada penyesalan, kata peguam hak asasi Singapura selepas digantung tugas 5 tahun

M Ravi berkata beliau memilih mengabdikan kerjaya guamannya untuk kepentingan hak asasi manusia dan akses kepada keadilan di Singapura.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Peguam M Ravi berdiri di luar Mahkamah Agung di Singapura pada 9 November 2021, sebelum pengumuman keputusan mahkamah mengenai rayuan untuk menghentikan pelaksanaan hukuman terhadap warga Malaysia, Nagaentran K Dharmalingam. Gambar: AFP
Peguam M Ravi berdiri di luar Mahkamah Agung di Singapura pada 9 November 2021, sebelum pengumuman keputusan mahkamah mengenai rayuan untuk menghentikan pelaksanaan hukuman terhadap warga Malaysia, Nagaentran K Dharmalingam. Gambar: AFP

Peguam hak asasi manusia terkemuka M Ravi hari ini digantung tugas selama lima tahun selepas mahkamah di Singapura berkata beliau membuat "tuduhan berat dan tidak berasas serta berkelakuan tidak wajar" terhadap peguam negara republik itu serta pegawai dari Jabatan Peguam Negara dan Persatuan Undang-undang Singapura.

Ketua Hakim Sundaresh Menon ketika menyampaikan keputusan itu, berkata sekatan maksimum yang mungkin untuk salah laku di pihak peguam, lapor Channel NewsAsia. 

Ravi, yang terkenal kerana mewakili banduan yang dijatuhi hukuman mati termasuk banduan Malaysia di Singapura, digantung tugas berhubung kenyataan yang dikeluarkan dalam temu bual mengenai kes seorang keldai dadah bernama Gobi Avedian. 

Beliau berkata pendakwa raya "terlalu bersemangat dalam pendakwaannya" terhadap Gobi, menyalahkan hukuman mati yang kemudiannya dijatuhkan ke atas anak guamnya.

Menurut laporan itu, beliau juga meminta kerajaan, pendakwa raya dan menteri undang-undang Singapura memohon maaf kepada Gobi, sambil menambah bahawa "keadilan pendakwaan 'dipersoalkan oleh mahkamah sendiri'".

Ketika diminta untuk menarik balik kenyataannya, beliau memuat naik surat daripada Jabatan Peguam Negara di media sosial yang mengatakan beliau berhak untuk mengkritik "ketidakadilan berkaitan dengan kegagalan keadilan".

Mengulas isu penggantungannya, Ravi berkata beliau gembira kerana berjaya membuka semula kes hukuman mati dan menyelamatkan "sekurang-kurangnya satu nyawa", merujuk kepada kes Gobi.

"Saya ada pilihan," tambahnya.

"Saya memilih untuk mendedikasikan perkhidmatan 20 tahun saya kepada perjuangan hak asasi manusia dan akses kepada keadilan di Singapura dengan kos yang mahal.

"Saya tidak menyesal."

Ravi antara lain turut mewakili warga Malaysia Nagaentran K Dharmalingam yang dihukum mati secara kontroversi di Singapura atas kesalahan dadah pada April lalu.

Nagaenthran, yang didiagnosis mempunyai tahap IQ rendah yang menyebabkannya tidak layak dijatuhi hukuman mati, dihukum gantung pada 27 April.

Ravi dan rakan peguam Violet Netto kemudiannya dikenakan denda S$20,000 selepas mereka dituduh tidak mengikut piawaian yang diharapkan daripada seorang peguam dalam memfailkan permohonan jam ke-11 di mahkamah untuk menyelamatkan nyawa Nagaenthran.

Ravi juga berdepan beberapa siasatan disiplin profesional yang boleh menyebabkan beliau didenda, digantung atau dihentikan tugas sebagai peguam, termasuk tiga prosiding menghina mahkamah serta beberapa siasatan polis.

Beliau dan seorang lagi rakan peguamnya turut diperintahkan membayar kos guaman sebanyak S$10,000 kepada peguam negara berhubung saman diskriminasi etnik yang difailkan oleh 17 banduan Melayu yang dijatuhi hukuman mati.

Hakim kemudian berkata Ravi meneruskan saman itu walaupun diberitahu bahawa ia tidak mendapat persetujuan daripada peguam negara.