- Iklan -
Berita

Zahid janji pimpinan baru Umno terus dukung kerajaan

Beliau berkata setiap peringkat kepimpinan nasional serta akar umbi parti itu memberi dukungan sepenuhnya kepada kerajaan Anwar Ibrahim.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim diapit timbalannya Ahmad Zahid Hamidi pada mesyuarat sekretariat kerajaan campuran di Kuala Lumpur, 19 Mac. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim diapit timbalannya Ahmad Zahid Hamidi pada mesyuarat sekretariat kerajaan campuran di Kuala Lumpur, 19 Mac. Gambar: Bernama

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan pimpinan baru Umno bersama Barisan Nasional (BN) akan terus mendukung dan memperkukuhkan kerajaan campuran.

Presiden Umno itu berkata berdasarkan keputusan Pemilihan Umno 2023 yang berakhir semalam, ia jelas menunjukkan bahawa setiap peringkat kepimpinan nasional serta akar umbi parti itu memberi dukungan sepenuhnya kepada keutuhan kerjaan campuran yang dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Manifestasi ini cukup jelas kerana kita lihat walaupun ada usaha untuk menggugat kerajaan yang ada sekarang namun ia jelas ditolak oleh perwakilan (Umno),” kata beliau yang juga Pengerusi BN  selepas menghadiri Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Kuala Lumpur malam ini.

Mesyuarat yang berlangsung kira-kira dua jam itu dipengerusikan oleh Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan turut dihadiri beberapa pimpinan tertinggi parti dalam kerajaan campuran.

Selain sokongan Umno dan parti komponen BN, Zahid yakin setiap parti termasuk dari Sabah dan Sarawak di bawah Kerajaan Perpaduan juga akan terus mendukung kerajaan ini.

“Maka kombinasi 20 parti yang ada dalam Kerajaan Perpaduan akan diperkuatkan lagi dengan pimpinan baharu Umno dan seterusnya insya-Allah akan memperkukuhkan kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Johari Abdul Ghani diumumkan memenangi jawatan naib presiden Umno bagi sesi 2023-2026.