- Iklan -
Berita

Isu kebajikan kanak-kanak jadi tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Isu lain yang dibangkitkan adalah mengenai rumah jagaan warga emas dan pendidikan berkualiti kepada pelajar berkeperluan khas.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.
Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menjadi perhatian Dewan Rakyat hari ini apabila beberapa soalan mengenai kebajikan kanak-kanak dijangka akan dibangkitkan dalam sesi soal jawab.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman web rasmi Parlimen, Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) dijadual bertanya sama ada kerajaan akan mengkaji semula syarat-syarat kelulusan pengambilan anak angkat terutamanya kanak-kanak mangsa penderaan.

Bekas Perdana Menteri itu turut akan bertanya jika kanak-kanak terbabit kes penderaan akan ditempatkan di rumah kanak-kanak untuk lebih lama sebelum dipulangkan kepada waris. 

Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) pula ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk mewujudkan pusat jagaan khas anak luar nikah di seluruh negara selain menyentuh tentang bantuan serta pengiktirafan kerajaan ke atas usaha-usaha yang dijalankan badan bukan kerajaan.

Turut menyentuh bidang kuasa KPWKM, Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) akan mendahului sesi soal jawab dengan menyoal sama ada kementerian itu berhasrat memperkenalkan undang-undang bagi mewajibkan potongan gaji kepada anak yang menghantar ibu bapa ke pusat atau rumah jagaan warga emas. 

Selain itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) pula akan membangkitkan soalan mengenai langkah Kementerian Pendidikan untuk memastikan pelajar berkeperluan khas dan kurang upaya diberi fokus dan mendapat pendidikan berkualiti. 

Turut tersenarai, soalan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) kepada Menteri Perladangan dan Komoditi berkenaan perkembangan industri buluh negara dan usaha kerajaan mengembangkan industri itu.

Selesai sesi soal jawab, persidangan Dewan Rakyat akan diteruskan dengan hari ketiga perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa.

Rang Undang-Undang Pencetakan Teks Al-Qur'an (Pindaan) 2023, Rang Undang-Undang Kewangan 2023 dan Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023 juga dijadual dibaca buat kali kedua hari ini.

Persidangan kali ini berlangsung selama 31 hari hingga 4 April.