- Iklan -
Berita

PH-BN semakin hilang sokongan Melayu selepas dakwa Muhyiddin, kata penganalisis

Mereka berkata hanya masa yang akan menentukan, terutamanya dengan enam pilihan raya negeri akan datang tahun ini.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang penyokong mengangkat sepanduk ‘Rakyat Bersama Abah’ di hadapan Mahkamah Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu. Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin didakwa atas beberapa pertuduhan berkaitan kes JanaWibawa.
Seorang penyokong mengangkat sepanduk ‘Rakyat Bersama Abah’ di hadapan Mahkamah Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu. Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin didakwa atas beberapa pertuduhan berkaitan kes JanaWibawa.

Penganalisis politik berkata pendakwaan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin akan menarik lebih banyak sokongan Melayu kepada blok pembangkang selain sokongan luar bandar terhadap kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim dijangka semakin melemah.

James Chin dari University of Tasmania Australia berkata keadaan ini terutamanya melibatkan sokongan orang Melayu yang sudah pun meninggalkan Umno kerana membenci presidennya Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Bagaimanapun, kata Chin dari aspek komuniti Melayu yang menyeluruh, mereka sedang mengamati dan mengambil pendirian untuk meneliti perkembangan kes-kes mahkamah terdekat terlebih dahulu. 

"Mereka sedang meneliti perkembangan ini dan mendengar apa yang dikatakan mengenai pendakwaan politik.

"Tetapi pendiriannya lebih menjurus kepada pendirian ‘tunggu dan lihat’. Saya tidak rasa komuniti sudah membuat keputusan muktamad buat masa ini," katanya kepada MalaysiaNow. 

Sejak dua minggu lalu, senario politik Malaysia menyaksikan beberapa ahli politik pembangkang tersenarai untuk didakwa ke mahkamah berhubung dakwaan penyelewengan yang dikaitkan dengan JanaWibawa, program pasca Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera.

Muhyiddin merupakan perdana menteri selama 17 bulan antara 2020 dan 2021, didakwa atas enam pertuduhan berkait salah guna kuasa dan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, dengan pertuduhan ketujuh dibacakan di Mahkamah Shah Alam.

Bercakap kepada media selepas pertuduhan minggu lalu, Muhyiddin menyifatkan ianya merupakan pendakwaan terpilih dan satu bentuk penganiayaan politik terancang. 

Sementara itu, seorang profesor dari Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia, Shamsul Amri Baharuddin pula berpandangan pendakwaan terhadap ahli Parlimen Pagoh jelas menunjukkan Zahid dan Anwar saling bantu membantu antara satu sama lain.

"Anwar jadi PM10 semata-nata atas sokongan Zahid.

"Hutang Anwar pada Zahid bertimbun. Masih belum habis dibayar.

"Menyelamatkan Zahid digodam RoS baru satu kes. Ada 48 kes lagi," katanya kepada MalaysiaNow merujuk kepada surat tular menyatakan usul tambahan dalam Perhimpunan Agung Umno tahun lalu yang menghalang pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden sebagai tidak sah.

Shamsul turut mempersoalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mengendalikan kes Muhyiddin dengan membandingkan tempoh masa yang diambil oleh agensi itu ketika menyiasat kes 1MDB beberapa tahun lalu. 

Katanya, SPRM mengambil waktu selama setahun lebih dalam persediaan kes 1MDB dan heret Najib ke mahkamah.

Bagaimanapun, agensi itu kini hanya memerlukan waktu tiga bulan dalam persediaan kes JanaWibawa dan bawa Muhyiddin ke mahkamah.

"Tindakan ini memperkukuh keakraban politik dalam Bersatu dan PN.

"Rakyat jauh lebih bijak dari pemimpin PKR dan BN (Barisan Nasional). Dalam PRN (pilihan raya negeri) nanti, senjata makan tuan.

"Yang menariknya semuanya tokoh-tokoh yang terlibat adalah bekas anak murid sekolah politik Umno dan Barisan Nasional (BN).”

Kerajaan Anwar akan tumbang?

Ketika ditanya sama ada pendakwaan terburu-buru terhadap pemimpin politik pembangkang boleh mencetuskan usaha menumbangkan kerajaan kerana ikrar mereka untuk menjadi "pembangkang yang telus" tidak mendapat kerjasama Anwar dan Zahid.

Chin meramalkan ianya sukar untuk menumbangkan kerajaan buat masa kini disebabkan beberapa faktor.

Terutamanya, kata Chin memandangkan sambutan hari raya Aidilfitri makin dekat akan menyukarkan PN untuk "bergerak".

"Saya rasa pendirian secara umum bagi semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang ialah tiada keperluan untuk mengambil apa-apa langkah kerana pilihan raya di enam negeri semakin hampir.

"Di situ kita akan lihat pihak mana akan raih sokongan orang Melayu."

Terdahulu, Wan Saiful Wan Jan yang juga ahli Parlimen Tasek Gelugor serta seorang lagi pemimpin parti ditahan dan didakwa SPRM.

Pendakwaan Muhyiddin pula dilihat memanaskan lagi suhu politik negara.

Kerajaan Anwar diramal berdepan tindak balas negatif ketika pentadbirannya melakukan pendakwaan terhadap Muhyiddin, tiga bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Anwar sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terhadap Muhyiddin dilakukan atas tujuan politik sebaliknya dilaksanakan sepenuhnya oleh agensi penguatkuasaan undang-undang, SPRM.

Pemimpin PN sebelum ini memberi amaran pentadbiran Anwar akan melakukan penahanan secara besar-besaran bagi memburuk-burukkan pemimpinnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di mana lima daripadanya mempunyai jumlah pengundi Melayu yang besar.

Pada PRU15, kerajaan Pakatan Harapan (PH)-BN hilang undi Melayu kepada PN.