- Iklan -
Berita

Muhyiddin persoal pendakwaan tergesa-gesa SPRM sehari selepas beri keterangan

Beliau dipanggil ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi keterangan berhubung kes pengecualian cukai untuk Yayasan Albukhary.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin ketika berucap di depan penyokongnya di Taman Melewar, Gombak selepas dibebaskan dengan jaminan SPRM pada 9 Mac.
Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin ketika berucap di depan penyokongnya di Taman Melewar, Gombak selepas dibebaskan dengan jaminan SPRM pada 9 Mac.

Bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin mempertikaikan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membuat pertuduhan tergesa-gesa sehari selepas mengambil keterangannya hari ini.

Katanya, beliau disoal siasat berhubung isu pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary milik taikun dan bilionair terkenal, Syed Mokhtar Albukhary.

"Kenapa buat keputusan begitu? Kenapa SPRM buat seolah-olah selesai sedangkan saya baru tadi disoal siasat?" katanya dalam satu himpunan selepas program solat hajat bersama pimpinan dan penyokong Perikatan Nasional (PN) di Gombak, Selangor hari ini.

Terdahulu, beliau dipanggil ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi keterangan berhubung kes pengecualian cukai untuk Yayasan Albukhary.

Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh itu berkata, ada arahan daripada pihak atasan untuk menuduh beliau di mahkamah.

Sebelum itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, pertuduhan pada hari Jumaat mungkin menyukarkan proses jaminan.

"Kita perlukan masa untuk uruskan jaminan dan sebagainya.

“Bagaimana jika mahkamah sibuk dan tidak boleh uruskan jaminan? Sudah tentu (Muhyiddin) akan direman," katanya.

Takiyuddin akan bertindak sebagai peguam Muhyiddin di mahkamah esok.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata pendakwaan beliau merupakan pendakwaan terpilih dan satu lagi bentuk penganiayaan kepada PN.

Muhyiddin berdepan tujuh pertuduhan di mahkamah esok membabitkan isu projek JanaWibawa dan pengecualian cukai.

Projek JanaWibawa dilaksanakan semasa beliau menjadi perdana menteri bagi membantu kontraktor Bumiputera yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Beliau merupakan bekas perdana menteri kedua yang didakwa di mahkamah selepas tidak lagi berkhidmat.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.