- Iklan -
Berita

Mengapa menteri campur tangan sebelum Umno diharamkan, soal Hamzah

Katanya, kuasa budi bicara yang diperuntukkan menteri di bawah Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 sepatutnya digunakan apabila sesebuah parti itu diharamkan.

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin ketika berucap di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada 14 Februari. Gambar: Bernama
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin ketika berucap di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada 14 Februari. Gambar: Bernama

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin mempersoalkan tindakan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang menggunakan kuasa budi bicaranya untuk campur tangan dalam urusan antara Umno dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meskipun parti itu bukan satu pertubuhan yang diharamkan.

Beliau berkata, kuasa budi bicara yang diperuntukkan menteri di bawah Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 sepatutnya digunakan apabila sesebuah parti itu diharamkan.

“Sepatutnya kalau parti itu diharamkan, barulah ada kuasa. (Ini) sebelum apa-apa nak pre-empt (mendahului). Pasal apa?” soal beliau ketika ditemui media di depan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini.

“Maknanya memang betullah dia (Saifuddin) rasa sepatutnya Umno diharamkan. Itu persoalan yang ada di kalangan rakyat.”

Saifuddin sebelum dilaporkan menggunakan kuasa menterinya untuk mengecualikan Umno daripada pematuhan peruntukkan di bawah Seksyen 13 akta sama bagi membenarkan parti itu tidak mempertandingkan dua jawatan tertingginya.

Beliau ketika menghadiri Dewan Rakyat semalam, bagaimanapun enggan memberi penjelasan ketika ditanya mengenai asas menggunakan kuasanya itu.

Ini selepas wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan mendedahkan RoS berpandangan bahawa usul tambahan oleh Umno itu adalah tidak teratur, bertentangan dan bercanggah dengan peruntukan dengan Perlembagaan Umno.

Surat daripada RoS turut meminta supaya parti itu mengambil langkah sewajarnya.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, pihak lain mempunyai hak untuk melihat isu ini daripada sudut pandangan berbeza.

“Terpulang pada setiap parti, setiap orang ada pandangan dan hak untuk lakukan apa yang mereka rasa perlu. Selagi ia mematuhi undang-undang negara.

“Jadi, rakyat terutamanya ahli Umno harus sedar bahawa ada banyak perkara yang sepatutnya dipersoalkan, namun ia terpulang kepada ahli parti itu,” tambahnya.