- Iklan -
Berita

Wakil kerajaan, pembangkang desak peruntukan banjir disalur terus kepada ahli Parlimen

Ia penting kerana mangsa banjir akan cari wakil rakyat terlebih dahulu untuk dapatkan bantuan, selain pengurusan bencana dapat diurus dengan lancar, malah mangsa juga tak tahu soal birokrasi, kata mereka.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki mengangkut beg plastik berisi barangan di bahu selepas rumahnya dinaiki air di Kampung Temehel di Yong Peng, Johor.
Seorang lelaki mengangkut beg plastik berisi barangan di bahu selepas rumahnya dinaiki air di Kampung Temehel di Yong Peng, Johor.

Ahli-ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang bersatu hati menuntut wang peruntukan khas untuk disalurkan terus kepada wakil rakyat yang terlibat dengan banjir.

Dalam satu usul tergempar yang dibawa oleh Wong Shu Qi (PH-Kluang) mereka berkata peruntukan itu amat diperlukan selain bantuan yang disalurkan kepada kerajaan negeri dan agensi kerajaan. 

Tuntutan itu kebanyakannya datang daripada ahli-ahli Parlimen dari Johor antaranya Sri Gading, Muar, dan Segamat. 

Johor menjadi negeri yang paling terkesan dalam banjir baru-baru ini dengan beberapa kematian dicatatkan dan lebih 50,000 mangsa terpaksa dipindahkan. 

Dalam usulnya, Wong mempersoalkan tindakan melepaskan air daripada empangan yang dikatakan mengakibatkan banjir yang lebih buruk. 

Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) berkata, kerajaan wajar memberikan peruntukan khas kepada ahli-ahli Parlimen supaya mereka boleh menguruskan bencana.

Ini kerana proses perolehan pembekal makanan untuk mangsa-mangsa bersifat berulang atau “redundant”.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat terpaksa panggil sebut harga. Mangsa sudah tenggelam dan perlu makan.

"Jadi kita 'assign' tugas ini kepada ahli Parlimen kerana ahli Parlimen perlu menjawab kepada masyarakat," katanya semasa membahaskan usul tergempar itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran berkata kerajaan perlu memberikan peruntukan khas kepada semua ahli Parlimen di Johor. 

"Kita nampak pengurusan yang tidak begitu rapi. Bomba ada tiga bot sahaja walhal mangsa ada 12,000. 

"Ada pegawai bomba terpaut di pokok selama lapan jam kerana bot itu terbalik. Ini adalah keluhan daripada agensi-agensi," katanya.

Katanya, rakyat tidak tahu soal birokrasi tetapi akan bertanya terus kepada ahli-ahli Parlimen mengenai bantuan selepas pasca banjir.

Mereka turut menyentuh mengenai elaun kepada sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan yang membantu dalam bencana banjir.  

Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) berkata, mangsa-mangsa banjir meminta wang sumbangan daripada wakil rakyat semasa lawatan meninjau keadaan mangsa-mangsa. 

Sementara itu, Syed Saddiq Abdul Rahman (Muda-Muar) berkata, pertukaran kerajaan mengakibatkan projek-projek berkaitan banjir dihentikan.

"Cadangan saya jangan kita tangguh terlalu lama sehingga ada banjir besar lagi. 

“Perkara ini perlu dihentikan," katanya merujuk kepada projek tebatan banjir yang dibuat semula oleh kerajaan secara tender terhad. 

Syed Saddiq berkata tiga projek di Muar membabitkan masalah banjir turut mengalami gangguan akibat beberapa kali pertukaran kerajaan.