- Iklan -
Berita

Lebih 70% aset, dana 1MDB diperoleh, kata SPRM

Ketua agensi antirasuah berkata baki 30% akan cuba didapatkan secepat mungkin.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki.

Lebih 70% aset dan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bersamaan kira-kira RM28.93 bilion berjaya diperoleh setakat ini, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

“Baki 30 peratus kita cuba dapatkan balik secepat mungkin. Pengesanan aset masih lagi diteruskan termasuk di beberapa tempat di negara luar dan tidak akan dihentikan,” katanya, menambah SPRM adalah satu daripada agensi utama terlibat dalam mendapatkan semua aset dan dana 1MDB.

Ditemui pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara SPRM, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA) di Putrajaya hari ini, Azam berkata SPRM juga memainkan peranan dalam kejayaan mendapatkan semula RM8.06 bilion yang melibatkan International Petroleum Investment Company (IPIC).

Pada 27 Februari lepas dilaporkan Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) dan 1MDB telah mencapai satu penyelesaian mengenai pertikaian mereka dengan IPIC dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS) mengenai prosiding undang-undang di Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London dan Mahkamah Tinggi London.

Dalam hal ini, IPIC dan Aabar PJS dari Abu Dhabi telah bersetuju untuk membayar AS$1.8 bilion (kira-kira RM8.06 bilion) kepada MoF Inc dan 1MDB.

Terdahulu ketika berucap, Azam berkata MoU berkenaan membolehkan satu tindakan bersepadu dilakukan dalam meningkatkan penguatkuasaan dan keberkesanan kawal selia sedia ada ke arah tadbir urus yang lebih baik.

Menurutnya, MoU antara SPRM dan UiTM membabitkan kerjasama antaranya dalam aspek khidmat rundingan, pembangunan modul latihan, program kesedaran dan pendidikan antirasuah.

Kerjasama dengan MIA pula meliputi aktiviti perkongsian maklumat dan kepakaran serta teknik penyiasatan dalam bidang perakaunan dan kewangan dalam membanteras jenayah rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Mengulas mengenai kerugian RM157 juta oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Holdings Sdn Bhd, Azam berkata ia masih dalam siasatan pihaknya dengan mengambil kira segala aspek agar siasatan tersebut adil tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

“Kita akan umumkan hasil siasatan kelak,” katanya.

Sementara itu, mengenai kenyataan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin bahawa SPRM tidak sepatutnya menahan reman Bendahari Agung Bersatu Mohamed Salleh Bajuri pada 1 Mac lepas, Azam berkata agensi penguatkuasaan itu mempunyai peraturan dan undang-undangnya tersendiri.

“Saya serahkan kepada penyiasat saya, (jika) mereka memikirkan ada keperluan untuk menjalankan tangkapan dan reman, maka itu adalah keperluan atau kehendak siasatan ketika itu. Ini adalah satu kuasa budi bicara yang akan digunakan oleh SPRM dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian kes," katanya.

Hamzah dilaporkan berkata Bersatu berpendirian bahawa tahanan reman ke atas Mohamed Salleh adalah sebahagian daripada tekanan yang diberikan kepada pegawai dan pemimpin parti itu untuk mencari kesalahan tidak wujud.

Mohamed Salleh ditahan bagi membantu siasatan berhubung siasatan ke atas akaun parti itu yang kini dibekukan.