- Iklan -
Berita

Hampir 43,000 mangsa banjir masih berlindung di PPS tiga negeri

Di Johor, jumlah mangsa berkurang kepada 39,620 orang susulan penutupan 16 PPS malam tadi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Khemah berwarna-warni didirikan untuk mangsa banjir di pusat pemindahan sementara di Kota Tinggi, Johor.
Khemah berwarna-warni didirikan untuk mangsa banjir di pusat pemindahan sementara di Kota Tinggi, Johor.

Jumlah mangsa banjir di tiga negeri sedikit menurun dengan 42,909 orang ditempatkan di 234 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi ini.

Di Johor, jumlah mangsa banjir di sembilan daerah berkurang daripada 40,129 semalam kepada 39,620 orang susulan penutupan 16 PPS malam tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata keadaan banjir di daerah Segamat semakin surut, bagaimanapun terdapat peningkatan mangsa di daerah Batu Pahat, Muar dan Tangkak.

Daripada sembilan daerah, tiga daerah paling teruk terjejas adalah Batu Pahat melibatkan 22,209 orang, diikuti Muar dengan 5,094 orang dan Segamat 4,036 orang.

Setakat ini, sebanyak 10,862 keluarga ditempatkan di 210 PPS dan angka korban akibat banjir kini lima orang susulan penemuan mayat wanita yang dipercayai hanyut akibat arus deras bersama keretanya di Mersing, malam tadi. 

Di Pahang, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir pagi ini kekal pada 2,684 orang daripada 766 keluarga seperti malam tadi. 

Sebanyak 2,671 mangsa berada di 18 PPS di Rompin manakala 13 lagi ditempatkan di sebuah PPS di Maran. 

Di Melaka, jumlah mangsa banjir di Jasin meningkat sedikit kepada 605 mangsa daripada 161 keluarga berbanding 593 mangsa daripada 160 keluarga pada 8 malam tadi.

Kesemua mangsa ditempatkan di lima PPS iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah; SK Parit Penghulu, SK Seri Mendapat; SK Sungai Rambai dan SK Parit Gantong.