- Iklan -
Berita

Dewan Rakyat kecoh selepas DAP desak Hadi Awang disiasat

Ia susulan kenyataan presiden PAS yang dilapor berkata PN ada hak tumbangkan kerajaan Anwar kerana dijamin dalam amalan demokrasi.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Dewan Rakyat kecoh petang ini apabila para wakil rakyat bertikam lidah tentang kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang dilaporkan berkata mahu tumbangkan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim kerana ia dijamin dalam amalan demokrasi.
Dewan Rakyat kecoh petang ini apabila para wakil rakyat bertikam lidah tentang kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang dilaporkan berkata mahu tumbangkan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim kerana ia dijamin dalam amalan demokrasi.

Sidang Dewan Rakyat pada sesi petang bertukar kecoh selepas Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer dari DAP mendesak agar Presiden PAS Abdul Hadi Awang disiasat atas kesalahan memudaratkan demokrasi. 

Beliau memetik laporan akhbar mengenai kenyataan akhbar oleh Hadi yang juga ahli Parlimen Marang berhubung pertukaran kerajaan. 

"Marang menyatakan pihak sebelah sana merancang menjatuhkan kerajaan sekarang.

"Saya menuntut menteri dalam negeri menyiasat kerana perkara ini menyalahi undang-undang Kanun Keseksaan di bawah Seksyen 124 B.

"Ini adalah kerajaan yang diilhamkan Tuanku," katanya.

Ucapan itu bagaimanapun dibantah oleh Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) yang membangkitkan peraturan mesyuarat.

"Ini sangkaan jahat. 

“Beliau membuat kenyataan politik, bukan merancang (kejatuhan kerajaan)," katanya.

Misbahul mahu kenyataan itu ditarik semula. 

Rayer kemudian berkata, ia adalah tindakan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Berikutan itu, beliau dicabar oleh Khlir Bin Mohd Nor (PN-Ketereh) untuk membuat laporan polis berhubung kenyataan Hadi itu.

Selepas itu berlaku pertikaman lidah sehingga Timbalan Speaker Alice Lau menutup mikrofon.

"Jangan panas dalam dewan. Sila duduk. Ahli Yang Berhormat, kalau panas boleh rehat sekejap. Saya minta YB Jelutong gulung," kata Alice.

Rayer kemudiannya memohon perkara ini diberi perhatian. 

“Rakyat tidak boleh merana jika berlaku sesuatu seperti yang dirancang oleh pembangkang," kata Rayer. 

Hadi sebelum ini dilaporkan berkata, Perikatan Nasional berhak merancang untuk menumbangkan kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana dijamin dalam amalan demokrasi.