- Iklan -
Berita

Polis pantau media sosial kumpulan ada kaitan IS, kata Acryl Sani

Ia berasaskan maklumat yang diperoleh daripada Nordic Counter Terrorism Network dari Finland.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani. Gambar: Bernama
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani. Gambar: Bernama

Polis kini memantau rapi aktiviti media sosial kumpulan di negara ini yang dikaitkan dengan Negara Islam (IS) seperti dilaporkan oleh beberapa media tempatan.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata laporan itu didapati adalah berasaskan maklumat yang diperoleh daripada Nordic Counter Terrorism Network dari Finland.

Beliau berkata polis sejak awal mengesan dan terus memantau secara rapi penyebaran propaganda melalui media sosial yang digunakan kumpulan pengganas itu untuk meraih sokongan.

"Antara langkah polis ialah mewujudkan kolaborasi rapat dengan agensi keselamatan serantau bagi memantau penyebaran propaganda sedemikian agar tindakan dapat diambil ke atas pihak yang dikenal pasti terlibat.

“Dalam usaha ini, semua agensi sedang memainkan peranan secara aktif dan pemantauan ditingkatkan bagi memastikan tahap ancaman keselamatan terjamin,” menurutnya dalam kenyataan malam ini. 

Acryl Sani turut memberi jaminan bahawa situasi semasa tahap keselamatan negara adalah terkawal dan menasihati orang ramai supaya tidak gusar dengan laporan media berhubung perkara itu.

Katanya, polis komited dalam memastikan sebarang kegiatan yang boleh mendatangkan kemudaratan ketenteraman awam diambil tindakan tegas tanpa kompromi demi mengekalkan kesejahteraan masyarakat.