- Iklan -
Berita

Tiada bukti Najib arah pinca laporan audit 1MDB untuk elak dikenakan tindakan, kata hakim

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata bekas PM itu cuma bimbang laporan audit tersebut boleh diputarbelitkan bagi tujuan politik.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa tiada bukti menunjukkan Najib Razak arah laporan audit akhir 1MDB dipinda bagi membebaskan dirinya daripada sebarang jenayah, 3 Mac. Gambar: AFP
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa tiada bukti menunjukkan Najib Razak arah laporan audit akhir 1MDB dipinda bagi membebaskan dirinya daripada sebarang jenayah, 3 Mac. Gambar: AFP

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa tiada bukti menunjukkan Najib Razak mengarahkan laporan audit akhir 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipinda untuk membebaskan dirinya daripada sebarang liabiliti sivil atau jenayah.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan dalam penghakimannya berkata bekas perdana menteri itu hanya bimbang laporan audit itu boleh diputarbelitkan bagi tujuan politik dan pindaan laporan audit itu berdasarkan pertimbangan dan persetujuan bekas ketua audit negara Ambrin Buang serta dokumen daripada tertuduh pertama (bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy).

“Ini tidak perlu sekiranya pengurusan 1MDB lebih bekerjasama sebelum laporan audit awal diterbitkan. Tiada bukti menunjukkan bahawa Ambrin terpaksa menghadiri mesyuarat atau membuat perubahan kepada laporan audit.

“Mengenai suapan yang dikatakan itu, saya bersetuju bahawa tiada kaitan antara pindaan yang dibuat dan suapan yang didakwa,” kata hakim itu.

Beliau berkata pihak pendakwaan tidak menunjukkan bagaimana item yang dikeluarkan atau dipinda itu boleh menimbulkan liabiliti sivil atau jenayah kepada Najib.

Hakim itu yang membebaskan Najib daripada pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat dalam laporan audit akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya, berkata beliau berpendapat item yang dikeluarkan daripada laporan audit awal tidak akan menimbulkan sebarang liabiliti sivil atau jenayah kepada bekas perdana menteri itu.

“Pindaan seperti yang dinyatakan oleh Ambrin adalah wajar. Pindaan itu juga diketahui oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan dibincangkan secara terbuka,” kata Mohamed Zaini.

Oleh itu, beliau berkata anggapan di bawah Seksyen 23(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 tidak boleh terpakai kerana pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan suapan.

Najib, 70, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM.

Mohamed Zaini berkata malah Ambrin mengesahkan tiada arahan khusus daripada Najib untuk meminda atau mengeluarkan apa-apa daripada laporan audit itu.

"Tiada bukti Ambrin dipaksa menghadiri mesyuarat atau membuat perubahan kepada laporan audit," katanya.

Beliau berkata Najib berhak menerima salinan laporan audit itu kerana beliau adalah Menteri Kewangan dan pihak berkepentingan bagi 1MDB.

Ini turut diakui oleh Ambrin serta seorang saksi pendakwaan bahawa ia adalah perkara biasa, katanya.

Mengenai dua penyata kewangan 1MDB, hakim itu berkata Najib dilihat tidak mengetahui perkara ini sehinggalah ia dibawa kepada perhatiannya oleh Ambrin.

MENYUSUL LAGI