- Iklan -
Berita

Rakyat kata kita macam zoo, timbalan speaker tegur ahli Parlimen kerajaan

Dewan Rakyat sedikit huru-hara apabila Chong Zhemin pertikai kenyataan Abdul Hadi Awang berhubung peratusan keluar undi PRU15.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Persidangan Dewan Rakyat, 13 Februari.  Gambar: Bernama
Persidangan Dewan Rakyat, 13 Februari. Gambar: Bernama

Timbalan Speaker Ramli Mohd Noor terpaksa campur tangan dalam perbahasan Belanjawan 2023 oleh Ahli Parlimen DAP Kampar Chong Zhemin yang mengeluarkan kenyataan mendakwa Presiden PAS Abdul Hadi Awang berbohong tentang peratusan keluar mengundi, sehingga membangkitkan reaksi daripada blok pembangkang.

Chong memetik kenyataan Hadi yang dilaporkan berkata orang bukan Islam akan menguasai Malaysia kerana kesedaran politik yang rendah dalam kalangan Melayu.

Beliau yang baru menjadi ahli parlimen mendakwa statistik keluar mengundi orang Islam dan bukan Islam dipetik Hadi sebagai palsu. 

"Marang (Hadi) dengan terang-terang membohong untuk memainkan sentimen perkauman. Marang juga berbohong apabila mengatakan Melayu akan dikawal oleh bukan Melayu," katanya di Dewan Rakyat hari ini. 

Kenyataan itu disanggah oleh Zulkifli Ismail (PN-Jasin) yang menyatakan Chong membuat sangkaan buruk kepada Hadi.

Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) berkata, sumber yang dinyatakan Chong masih boleh dipertikaikan. 

Chong kemudian ingin mencelah dan membantah Ahmad Yahaya namun diminta duduk oleh Ramli.

"Saya tak benarkan kamu (Kampar) berdiri, beri dia (Ahmad Yahaya) terangkan dulu baru saya beri kepada kamu. 

"Kalau tidak, itu yang masyarakat panggil kita zoo," ujarnya. 

Sebelum ini, Chong bertikam lidah dengan Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berhubung isu telur import. 

Ramli mencadangkan Zulkifli membuat usul secara bertulis berhubung pelanggaran peraturan mesyuarat oleh Chong agar Speaker dapat membuat keputusan.