- Iklan -
Berita

Mahkamah Persekutuan tentukan keputusan semakan kes SRC Najib paling lewat 31 Mac

Panel lima hakim berkata mereka perlukan masa untuk bincang.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak keluar dari Istana Kehakiman selepas pendengaran permohonannya untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana penyelewengan RM42 juta dana SRC International di Mahkamah Persekutuan, 21 Februari. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak keluar dari Istana Kehakiman selepas pendengaran permohonannya untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana penyelewengan RM42 juta dana SRC International di Mahkamah Persekutuan, 21 Februari. Gambar: Bernama

Mahkamah Persekutuan akan memutuskan permohonan Najib Razak untuk menyemak semula keputusan terdahulu dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd selewat-lewatnya 31 Mac ini.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli, yang mengetuai panel lima hakim, berkata demikian selepas kedua-dua pihak selesai mengemukakan hujah masing-masing hari ini pada prosiding yang berlangsung selama enam hari.

"Kami tidak boleh membuat keputusan hari ini. Pihak yang berkenaan akan dimaklumkan selewat-lewatnya pada 31 Mac," katanya.

Turut bersidang Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat, Rhodzariah Bujang dan Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais.

Bekas perdana menteri itu memohon untuk membatalkan keputusan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas, yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International, atau agar rayuannya didengar semula.

Najib, 69, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang.  

Bekas ahli Parlimen Pekan itu juga telah memfailkan petisyen memohon pengampunan diraja atas sabitannya dalam kes SRC International.

Petisyen itu difailkan di pejabat Suruhanjaya Tinggi Geneva melalui penghujahan digital dan beliau memohon pembebasan atau perbicaraan semula berikutan pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan yang didakwanya mempunyai kecacatan serius dan bertentangan dengan peraturan keadilan antarabangsa.