- Iklan -
Berita

Dewan Rakyat kecoh kerana ’kera’

Kekecohan bermula apabila Shahidan meluahkan rasa kesal apabila perbahasannya mengenai Belanjawan 2023 sering diganggu oleh Sany tanpa meminta kebenaran untuk mencelah.

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Mohd Sany Hamzan berang selepas ditegur atas kelakuannya seperti ‘kera di hutan’ oleh Shahidan Kassim di Dewan Rakyat. Gambar: YouTube
Mohd Sany Hamzan berang selepas ditegur atas kelakuannya seperti ‘kera di hutan’ oleh Shahidan Kassim di Dewan Rakyat. Gambar: YouTube

Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan berang dan menjerit selepas ditegur atas kelakuannya seperti "kera di hutan" oleh Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim.

Kekecohan itu bermula apabila Shahidan yang mewakili Perikatan Nasional (PN) meluahkan rasa kesal apabila perbahasannya mengenai Belanjawan 2023 sering diganggu oleh Sany tanpa meminta kebenaran untuk mencelah.

"Saya kesal kepada Hulu Langat yang perangai lagi teruk daripada kera di hutan," katanya ketika menghabiskan perbahasannya.

Kenyataan pendek itu bagaimanapun menyebabkan Sany marah dan berulang kali menggesa supaya Shahidan menarik kembali kenyataan itu.

"Guna perkataan kera. Patutnya orang lama bagi contoh. Minta tarik balik.

"Saya pun tak guna dah perkataan tak elok," kata Sany.

Situasi menjadi lebih "meriah" apabila Ahli Parlimen Parit Buntar Mohd Misbahul Munir Masduki bangun dan turut menegur perangai Sany sebelum wakil rakyat Amanah itu memintanya tidak masuk campur kerana itu adalah antara beliau dengan Shahidan.

"Saya (tak puas hati) dengan Arau sekarang. Bukan Parit Buntar. Saya dengan Arau.

"Cakap elok-elok. Saya tak gunakan perkataan tidak elok. Minta Arau tarik balik," jeritnya berulang.

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul bagaimanapun dilihat hanya membiarkan kekecohan itu berlaku dan hanya masuk mengawal Dewan Rakyat selepas diminta berbuat demikian.

"Saya nak tengok berapa orang nak jerit. Sebab rakyat sedang menilai," katanya.

“Teruskan, rakyat sedang tengok."

Situasi kemudian kembali terkawal apabila Johari meminta Shahidan mengulang kembali kenyataan itu untuk mendapatkan kepastian.

"Saya cakap jangan perangai seperti kera di hutan," jawab Shahidan sebelum sesi perbahasan diteruskan.