- Iklan -
Berita

Umno cuma ada satu kem sahaja, kata Zahid

Presiden Umno nafi desas-desus ada tiga puak dalam partinya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Tidak wujud sebarang kem dalam Umno pada pemilihan parti kali ini, kata presidennya Ahmad Zahid Hamidi. 

Beliau yang juga timbalan perdana menteri dan menteri kemajuan desa dan wilayah berkata hanya ada satu kem dalam parti berkenaan, iaitu kem Umno Malaysia.

“Tidak ada kem. Satu kem saja, kem Umno Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Mara Halal Industrial Park di Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Zahid ditanya mengenai dakwaan kewujudan tiga kem dalam Umno pada pemilihan kali ini iaitu kem yang menyokong beliau, kem yang tidak menyokong dan kem yang berpendirian neutral.

Ditanya mengenai apa yang beliau sifatkan mengenai dakwaan itu, beliau menjawab beliau tidak menyifatkan apa-apa.

“Tidak ada sifatkan apa-apa. Kem (dalam Umno) memang tidak ada. Tidak wujud pun,” katanya. 

Ditanya mengenai sama ada beliau menyokong Noraini Ahmad untuk jawatan ketua wanita Umno, beliau berkata Noraini dan pencabarnya Shahrizat Abduk Jalil diberi peluang yang sama.

“Saya pergi ke rumah kedua-duanya, rumah Shahrizat dan Noraini. Ini memperlihatkan saya adil dan memberi peluang kepada kedua-duanya,” katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau akan mengetuai rombongan memperkenalkan calon-calon yang bertanding pelbagai jawatan dalam parti di peringkat nasional, pada hujung minggu ini.

Beliau berkata seramai 330 calon disahkan bertanding pada pemilihan Umno kali ini, terdiri daripada lapan calon bagi jawatan naib presiden, 93 (majlis tertinggi), dua (ketua wanita) dan enam (ketua puteri), manakala sebanyak 61 calon bertanding bagi jawatan exco Wanita, 113 (exco pemuda) dan 42 (exco puteri). 

Pemilihan Umno diadakan bermula 1 Februari hingga 18 Mac ini, dengan Persidangan Tahunan Umno Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan pada 1 hingga 26 Februari.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Pusat pula, bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Umno Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi Umno pula diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac.