- Iklan -
Berita

Tak perlu panjangkan isu ucapan Agong disediakan kerajaan, kata Tuan Ibrahim

Lebih baik Dewan Rakyat fokus perbahasan yang dapat selesaikan masalah rakyat, kata ahli Parlimen PAS Kubang Kerian.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen PAS Kubang Kerian Tuan Ibrahim Tuan Man di Dewan Rakyat pada 5 Oktober 2020. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen PAS Kubang Kerian Tuan Ibrahim Tuan Man di Dewan Rakyat pada 5 Oktober 2020. Gambar: Bernama

Dewan Rakyat diminta memfokuskan kepada agenda yang lebih penting daripada memanjangkan isu teks Titah Diraja, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ini susulan permohonan "ruling" yang dikemukakan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer terhadap Tuan Ibrahim berhubung kenyataannya yang ucapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada sesi pembukaan sidang Parlimen disediakan oleh kerajaan.

Pada sidang Dewan Rakyat 21 Februari laku, Rayer dan beberapa ahli Parlimen kerajaan tidak berpuas hati dengan kenyataan tersebut sehingga mencetuskan kekecohan sewaktu perbahasan Titah Diraja.

Dalam ucapan perbahasannya minggu lepas, Tuan Ibrahim meluahkan rasa terkilan apabila aspek keadilan yang menjadi ciri-ciri penting kerajaan Madani tidak dimasukkan dalam Titah Diraja tersebut.

“Sepatutnya nilai keadilan perlu dibawa oleh tuanku dalam Parlimen bukan hanya tersedia dalam dokumen-dokumen di luar Parlimen.

“Sepatutnya nilai itu mesti digagaskan dalam ucapan tuanku kerana ucapan ini adalah ucapan yang telah pun dirumus pihak (tak jelas),” katanya.

Justeru pagi ini, Tuan Ibrahim berkata beliau telah menjelaskan salah faham yang berlaku.

"Saya fikir perkara ini tak perlu kita panjangkan kerana kita banyak isu-isu penting. 

"Jadi saya fikir sekiranya timbul kekhilafan, saya mohon maaf dan kita terus kepada agenda lebih penting untuk kepentingan rakyat," katanya di Dewan Rakyat hari ini. 

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul juga mengakui sudah membuat pertemuan secara bersama bagi membincangkan perkara tersebut beberapa hari lalu. 

Pada 2016, ahli Parlimen Ipoh Timur ketika itu, Lim Kit Siang dalam ucapan perbahasan Titah Diraja menyebut Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hanya membacakan ucapan yang disediakan oleh kerajaan. 

Ini apabila tuanku bertitah menyatakan hasrat supaya pentadbiran sedia ada perlu diteruskan bagi merealisasikan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.