- Iklan -
Berita

Dewan Rakyat kecoh berhubung Titah Diraja disediakan Kabinet

Dalam ucapan perbahasannya, Tuan Ibrahim yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian meluahkan rasa terkilan apabila aspek keadilan yang menjadi ciri-ciri penting kerajaan Madani tidak dimasukkan dalam titah diraja tersebut.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Parlimen ke-15 di bangunan Parlimen pada 13 Februari. Gambar: Bernama
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Parlimen ke-15 di bangunan Parlimen pada 13 Februari. Gambar: Bernama

Sesi perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat bertukar kecoh apabila beberapa ahli Parlimen kerajaan tidak bersetuju dengan kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa ucapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada sesi pembukaan sidang Parlimen disediakan oleh kerajaan.

Dalam ucapan perbahasannya, Tuan Ibrahim yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian meluahkan rasa terkilan apabila aspek keadilan yang menjadi ciri-ciri penting kerajaan Madani tidak dimasukkan dalam titah diraja tersebut.

“Sepatutnya nilai keadilan perlu dibawa oleh tuanku dalam Parlimen bukan hanya tersedia dalam dokumen-dokumen di luar Parlimen.

“Sepatutnya nilai itu mesti digagaskan dalam ucapan tuanku kerana ucapan ini adalah ucapan yang telah pun dirumus pihak (tak jelas),” katanya.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer menafikan hal tersebut mengatakan Tuan Ibrahim membuat kenyataan dan sangkaan jahat terhadap Agong dan meminta kenyataan tersebut ditarik balik.

“Saya pun pernah menganggotai Kabinet dan semua kami pernah duduk dalam kerajaan. Kita semua pun tahu prosedur dia.

“Walaupun diserahkan kepada Tuanku, tapi terserah kepada Tuanku sama ada nak pakai atau tidak,” kata Tuan Ibrahim mempertahankan kenyataan beliau.

Pada 2016, ahli Parlimen Ipoh Timur ketika itu, Lim Kit Siang dalam ucapan perbahasan titah diraja menyebut Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hanya membacakan ucapan yang disediakan oleh kerajaan apabila tuanku bertitah menyatakan hasrat supaya pentadbiran sedia ada perlu diteruskan bagi merealisasikan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim memberitahu secara asasnya, ucapan titah diraja sememangnya disediakan dan dibentangkan dalam Kabinet.

Dewan menjadi semakin tegang apabila Rayer dan Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefli Ahmad mempersoalkan sama ada Tuan Ibrahim mengetahui sekiranya teks itu sudah pun dipinda ataupun tidak.

Bekas menteri kesihatan itu juga menegaskan bahawa titah diraja bukanlah titah Kabinet sebaliknya ucapan dan hasrat Agong kepada Parlimen.

“Sila tarik balik,” jerit Rayer.

Pertikaman lidah dan celahan berterusan selama lebih tiga minit sebelum keadaan dikawal oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Alice Lau.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berpendirian tidak akan menarik semula kenyataan beliau dengan menyifatkan ianya difahami oleh semua ahli Dewan Rakyat.